REVOLUSI Industri ke-4 (IR 4.0) membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan, terutamanya dalam bidang ekonomi dan pekerjaan. Dengan kemunculan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), pengkomputeran awan dan automasi menyebabkan landskap pekerjaan berubah secara drastik.
Salah satu perubahan ketara adalah perkembangan pesat ekonomi gig, yang menawarkan peluang kepada pelajar untuk menjana pendapatan secara fleksibel.
Pelajar mempunyai kelebihan unik dalam ekonomi gig kerana mereka lebih celik teknologi dan cenderung kepada kemahiran digital. Dengan kemahiran dalam reka bentuk grafik, penulisan, pemasaran digital dan pembangunan perisian, pelajar boleh menawarkan perkhidmatan mereka melalui platform seperti Upwork, Freelancer dan Fiverr. Kerja-kerja ini memberikan kebebasan untuk bekerja dari mana-mana sahaja dan menguruskan masa dengan fleksibel.
Selain itu, pelajar boleh menjana pendapatan dengan menjadi pengurus media sosial, membuat kandungan berbayar atau memulakan perniagaan e-dagang melalui Instagram, TikTok dan Facebook.
Aplikasi seperti Grab dan Foodpanda membolehkan pelajar yang mempunyai kenderaan menjana pendapatan sebagai pemandu atau penghantar makanan. Walaupun kerja ini memerlukan mobiliti, ia tetap fleksibel dan boleh dilakukan mengikut kesesuaian jadual kuliah.
Dengan adanya platform seperti Chegg, Preply dan Superprof, pelajar yang cemerlang dalam akademik boleh menawarkan perkhidmatan bimbingan kepada pelajar lain. Bidang seperti matematik, bahasa Inggeris dan sains mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran ini.
Ramai pelajar menjana pendapatan dengan menjadi pencipta kandungan di YouTube, TikTok, dan blog. Dengan menghasilkan kandungan berkualiti dalam bidang seperti pendidikan, hiburan atau gaya hidup, pelajar boleh memperoleh pendapatan melalui pengiklanan dan tajaan.
Walaupun ekonomi gig menawarkan banyak peluang, ia juga datang dengan cabaran tertentu seperti pendapatan yang tidak tetap, persaingan tinggi dan kurangnya faedah pekerjaan. Oleh itu, pelajar perlu bijak mengurus kewangan, meningkatkan kemahiran dan mempelbagaikan sumber pendapatan untuk mencapai kestabilan kewangan.
Sebagai penyelesaian, kerajaan dan institusi pendidikan boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan dan bimbingan kepada pelajar tentang cara memanfaatkan ekonomi gig dengan lebih efektif. Kursus dalam talian mengenai pemasaran digital, pengurusan kewangan dan keusahawanan boleh membantu pelajar memahami strategi terbaik untuk berjaya dalam bidang ini.-UTUSAN
ROSAMIZA MEOR RAZAK
Pensyarah Kanan
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah










