AGAMA Islam melarang umatnya membenci sesama manusia walaupun berlain agama dan budaya, cuma ada sebabnya mengapa majoriti orang Melayu meluahkan rasa marah terhadap Lim Guan Eng berkait polisi DAP yang tidak menyebelahi umat Islam di negara ini.
Guan Eng dikaitkan dengan kepimpinan Dinasti Lim. Walaupun parti itu mempunyai ahli berbilang kaum namun pada dasarnya hanya indah khabar dari rupa. Pada pandangan banyak pihak setelah beberapa dekad, dasar dan polisi parti masih tidak berubah sebaliknya sekadar di bibir sahaja melaungkan ia parti berbilang kaum.
Sementara pada tanggapan kaum Melayu pula, selagi wujudnya kepimpinan Dinasti Lim selagi itulah DAP bukan ‘bumbung’ yang selamat untuk orang Melayu berteduh.
Biarpun ada ahli parti Melayu menjadi Yang Berhormat (YB), namun kemenangan mereka adalah di kawasan 70 peratus pengundi kaum Cina. Ini tidak boleh dibanggakan dan sampai bila hala tuju serta tatakelola sebegini dikekalkan?
Sekalipun bakal berlaku perubahan kepimpinan pada pemilihan DAP nanti, namun adakah ia memberi jaminan terhadap kedudukkan orang Melayu dari sudut serta polisi parti?
Jika tidak berlaku sebarang pindaan pada perlembagaan parti selain masih menjadikan Deklarasi Setapak 1967 sebagai roh perjuangan, maka orang Melayu bolehlah melupakan parti yang berlambangkan roket berkenaan.-UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Bekas ahli DAP dan aktivis politik









