MENTERI Pengangkutan mengumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan larangan pergerakan ke atas kenderaan berat selama empat hari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Larangan tersebut akan dikuatkuasa pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April ini.
Langkah ini bertujuan memastikan kelancaran trafik, mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas kemalangan.
Setiap kali menjelang Aidilfitri, berjuta-juta rakyat Malaysia akan bergerak pulang ke kampung halaman bagi menyambut hari lebaran bersama keluarga tercinta.
Fenomena tahunan ini menyaksikan lebuh raya utama di seluruh negara dipenuhi kenderaan, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang luar biasa.
Oleh itu, persediaan awal amat penting bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selamat.
Pengumuman awal mengenai sekatan pergerakan kenderaan berat boleh membantu syarikat logistik dan pengangkutan membuat perancangan yang lebih teratur.
Sistem Lorong Pintar, yang membenarkan penggunaan lorong kecemasan dalam keadaan tertentu, boleh diperluaskan ke lebih banyak lebuh raya utama. Ini mampu meningkatkan kapasiti jalan raya dan mengurangkan kesesakan.
Semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang tidak kritikal perlu dihentikan sementara dalam tempoh kemuncak perayaan. Penangguhan ini boleh membantu memastikan laluan utama bebas daripada halangan yang boleh memperlahankan aliran trafik.
Pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh meningkatkan kawalandi kawasan berisiko tinggi kemalangan. Penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan rondaan lebih kerap boleh mengurangkan kelajuan berbahaya serta mengekang kesalahan lalu lintas.
Agensi berkaitan boleh menyediakan pasukan bantuan kecemasan yang lebih bersedia sepanjang tempoh perayaan. Perkhidmatan tunda percuma bagi kenderaan rosak di lebuh raya juga boleh disediakan untuk memastikan aliran trafik tidak terjejas.
Kesediaan pengguna jalan raya dan langkah proaktif pihak berkuasa adalah kunci utama bagi memastikan kelancaran perjalanan pulang ke kampung. Dengan perancangan yang baik serta sokongan daripada agensi berkaitan, diharapkan pengalaman balik kampung tahun ini lebih lancar dan selamat.
Selain perancangan perjalanan, kepatuhan terhadap peraturan jalan raya adalah aspek tidak boleh diabaikan. Setiap pemandu perlu mengutamakan keselamatan diri, penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Mematuhi had laju, tidak menggunakan telefon semasa memandu, memakai tali pinggang keledar dan mengelakkan pemanduan agresif adalah langkah asas yang dapat mengurangkan risiko kemalangan.
Tidak perlu tergesa-gesa atau mengambil jalan pintas yang bahaya kerana keselamatan jauh lebih penting daripada tiba cepat di destinasi. Mengabaikan aspek keselamatan boleh membawa kepada tragedi yang hanya akan membawa kesedihan kepada keluarga tersayang.
Kekalkan kesabaran dan hormati pengguna jalan raya lain. Selamat pulang ke kampung dan Selamat Hari Raya Aidilfitri!-UTUSAN
DR. MOHD HAFIZ ZULFAKAR
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Puncak Alam










