Bentuk pemikiran konstruktik melalui media sosial

Bentuk pemikiran konstruktik melalui media sosial

PENYEBARAN maklumat media baharu tanpa batasan dan tapisan sehingga boleh mencetuskan banyak persoalan yang meragukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA boleh dianggap sebagai elemen dan instrumen penting dalam perubahan sosial dan pembangunan masyarakat. Dalam konteks yang lebih luas, media menjadi sebahagian daripada intisari peradaban yang sekali gus berperanan mencatat dan merekod perjalanan sejarah manusia sepanjang zaman.

Hakikatnya, manusia beradaptasi terhadap lingkungannya dan media pula bertindak memperpanjangkan fikiran dan pemahaman tertentu yang mampu mempengaruhi persepsi dan pemikiran masyarakat atau individu pada zamannya.

Dalam konteks ini, media bergerak dan bekerja dengan pelbagai cara mengikut masyarakat yang berbeza.

Memang terdapat pengaruh yang berbeza antara pelbagai bentuk media yang wujud. Ia bergantung bagaimana pengguna atau penonton berinteraksi dengan setiap media itu. Walaupun tidak semua pengguna atau penonton terpengaruh melalui interaksi mereka melalui media, namun dalam apa jua keadaan tetap meninggalkan kesan yang domain, iaitu berupaya membentuk perilaku dan pemikiran masyarakat.

Pada tahun 1990-an wujud tempoh baharu dalam dunia media di mana teknologi interaktif dan komunikasi jaringan maya (internet) mula mengubah masyarakat.

Profesor Mark Poster yang menulis buku, The Second Media Age (Polity Press, 1995) menyebut konsep media baharu telah melonggarkan pemahaman komunikasi massa pada pelbagai media dengan jangkauan luas hingga ke media bersifat peribadi (individu).

Dengan kepantasan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), bentuk pemilikan informasi tidak lagi dikuasai atau didominasi sepenuhnya oleh media konvensional media sosial. Era media baharu ini memiliki karakter atau ciri-cirinya tersendiri seperti desentralisasi, interaktif di luar kawalan situasi, pendemokrasian dan berorientasi individu .

Jika penekanan media konvensional adalah pada penyiaran, sebaliknya media baharu ini memberi penekanan pada jaringan maya. Budaya siber ini menjelaskan jaringan sejagat (world wide web) menyediakan sebuah medan yang terbuka, fleksibel dan dinamik yang memboleh serta memungkinkan manusia mengembangkan orientasi pengetahuan baharu selain terlibat dalam dunia pendemokrasian yang lebih interaktif juga terbuka.

Penggunaannya yang begitu drastik dan meluas telah melonggarkan pemikiran pemahaman mengenai media hari ini yang mana beranjak kepada jangkauan luas daripada media konvensional bersifat milik masyarakat kepada media bersifat peribadi dikenali sebagai media sosial yang memiliki pelbagai platform.

Jika era media konvensional digambarkan bersifat sentralisasi produksi, mengawal situasi, komunikasi satu arah dan misinya lebih menjurus ke arah pembentukan kesedaran sosial dan nasional tetapi media baharu lebih bersifat desentralisasi, interaktif, di luar kawalan situasi serta berorientasi individu.

Dalam konteks ini kita dapati penyebaran maklumat media baharu adalah tanpa batasan dan tapisan sehingga mencetuskan banyak persoalan yang meragukan.

Walaupun kedua bentuk media memiliki pendekatan interaksi sosial tetapi perbezaannya ialah media konvensional menekankan penyiaran beretika dan matlamat integrasi sosial, sedangkan media baharu lebih menekankan pada jaringan yang menjurus kepada kepentingan serta kepuasan peribadi.

Justeru, media baharu terutamanya yang diamalkan oleh masyarakat hari ini lebih banyak tidak beretika dalam isi kandungan dan penyebaran maklumat.

Banyak informasi yang disebarkannya bersifat kebencian, provokatif dan fitnah atau mempunyai niat tidak baik terhadap orang lain, kumpulan atau organisasi tertentu.

Justeru, usaha dan langkah mengkonstruksikan perundangan supaya pengamal dan pengguna media sosial lebih bertanggungjawab dalam kandungan yang disiarkannya atau lebih memahami pentingnya etika dalam mengendali media baharu adalah sesuatu yang amat wajar dilakukan oleh pihak berwajib (kerajaan).

Ini penting supaya media baharu digunakan bukan hanya sebagai instrumen menyebar informasi tanpa tapisan dan batasan selain untuk dijadikan hasrat mencapai populariti mahupun kepuasan peribadi tetapi ia harus dapat mengangkat wacana kemanusiaan dan wacana nasional secara konstruktif.-UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN