BELIA di negara-negara ASEAN memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan rantau ini melalui kepimpinan dan inovasi. Dengan memiliki populasi belia yang ramai, golongan belia menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam aspek politik, ekonomi dan masyarakat.
Dalam konteks globalisasi yang pesat, kemampuan belia ASEAN untuk mengadaptasi teknologi terkini, mengintegrasikan penyelesaian inovatif dan mengukuhkan perpaduan serantau menjadi tonggak utama kepada kestabilan dan kemajuan. Potensi ini menggambarkan peranan signifikan belia sebagai agen perubahan yang strategik dalam memastikan pembangunan mampan rantau ASEAN.
Dalam arena politik, belia menunjukkan peningkatan keterlibatan dalam proses demokrasi dan advokasi. Kesedaran politik dalam kalangan generasi muda semakin terserlah melalui penglibatan aktif dalam isu penting seperti hak asasi manusia, keadilan sosial dan perubahan iklim.
Media sosial berfungsi sebagai platform penting untuk menyuarakan pandangan, memupuk perbincangan inklusif dan menuntut pembaharuan polisi secara kolektif.
Belia juga tampil sebagai pencipta utama yang mendorong pertumbuhan pesat ekonomi digital. Melalui pengadaptasian teknologi terkini seperti e-dagang, fintech dan teknologi hijau, golongan ini berjaya mencipta peluang baharu. Usaha mereka bukan sahaja merangsang ekonomi tetapi turut membentuk ekosistem digital yang berdaya tahan dan inklusif.
Keusahawanan sosial turut mendapat tempat yang mana perniagaan dibangunkan tidak hanya mengejar keuntungan, tetapi sebagai penyelesaian masalah sosial seperti kemiskinan, akses kepada pendidikan dan ketidaksamaan.
Pelaburan strategik dalam pendidikan dan latihan vokasional menjadi elemen penting untuk memperkasa belia.
Dalam aspek sosial, mereka berperanan sebagai ejen perpaduan dan inklusi. Program Silang Pemimpin Muda ASEAN membuka peluang untuk generasi muda berinteraksi dengan rakan sebaya dari pelbagai latar belakang budaya.
Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuhkan kefahaman silang budaya tetapi turut membentuk identiti serantau yang kukuh, sekali gus menggalakkan semangat solidariti ASEAN.
Selain itu, belia aktif memperjuangkan penyelesaian terhadap cabaran masyarakat, termasuk isu ketidaksamarataan gender, perubahan iklim dan akses kepada pendidikan. Kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar semakin tinggi, mendorong mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti advokasi dan sukarela yang menyasarkan masa hadapan yang lebih hijau dan mampan.
Walaupun belia ASEAN memiliki potensi yang luar biasa dalam membentuk masa depan rantau ini, pelbagai cabaran masih menjadi penghalang kepada kemajuan mereka. Kekurangan akses kepada pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan yang terhad dan ketidaksamarataan sosial merupakan antara isu utama yang perlu ditangani secara kolektif.
Untuk mengatasi halangan ini, kerajaan negara-negara ASEAN perlu memberi penekanan kepada peningkatan pelaburan dalam pendidikan. Pendidikan yang berkualiti, terutamanya dalam bidang teknologi dan kemahiran masa hadapan seperti data analitik, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi hijau, adalah kunci untuk melengkapkan belia dengan kompetensi yang relevan dengan permintaan pasaran global.
Dengan komitmen yang menyeluruh, ASEAN dapat melangkah ke hadapan sebagai salah satu rantau paling berdaya saing di dunia.-UTUSAN
DR. NOR AZRUL MOHD. ZIN
Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)









