Toleransi, hormat: Realiti atau retorik semata-mata?

Toleransi, hormat: Realiti atau retorik semata-mata?

KITA perlu ingat Islam merupakan tunjang kehidupan majoriti rakyat negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA sering disajikan slogan ‘toleransi dan hormat-menghormati’ bagi meraikan kemajmukan agama, budaya dan adat di Malaysia. Namun, hakikatnya, segelintir pihak tampak cekap memperjuangkan isu sensitif tetapi tidak apabila menyentuh isu berkaitan agama atau umat Islam.

Apabila golongan Muslim menegur atau mengkritik, mereka pula pantas dilabel terlalu sensitif, kolot dan tidak terbuka. Ironi, bukan?

Lebih memeranjatkan apabila hampir 65 peratus penduduk Malaysia beragama Islam (dengan hampir 90 peratus daripadanya memegang teguh kepada Islam sebagai teras kehidupan). Persoalannya, adakah wajar sensitiviti majoriti ini kerap dipandang sebelah mata atau diperlekeh?

Ironinya, di sebuah negara bermajoriti Muslim, sering pula sentimen golongan Muslim pula diperlekeh dan dilakarkan sebagai ‘menyusahkan’. Islam bukan sekadar pegangan individu, malah menjadi tunjang kehidupan majoriti rakyat negara ini.

Dalam senario sebegini, apabila umat Islam menyuarakan teguran, laju sahaja muncul laungan kebebasan bersuara seolah-olah orang Islam tidak berhak berpendapat. Anehnya, pihak lain pula bebas mengkritik dan mempersenda pelbagai perkara tentang Islam atau komuniti Muslim. Apabila Muslim cuba memberi reaksi balas, mereka segera dilabel ekstremis, konservatif atau tidak toleran.

Jika benar prinsip kebebasan bersuara menjadi teras, tidakkah wajar pandangan balas Muslim diterima dengan dada terbuka, bukannya terus dihentam dengan pelbagai gelaran negatif?

Islam tidak pernah menutup ruang untuk perbezaan pendapat atau kritikan membina. Malah, ribuan ulama, cendekiawan dan intelektual Muslim di seluruh dunia giat berbincang dan bertukar pandangan tentang pelbagai aspek agama. Namun, apabila kritikan mula menjurus kepada penghinaan hukum Islam atau memperolok-olokkan nama Nabi, itu jelas bukan lagi wacana ilmiah, ia lebih kepada provokasi.

Lebih menghairankan, apabila umat Islam bangkit mempertahankan maruah agama, mereka pula dituduh tidak terbuka. Ironinya, sensitiviti agama lain jarang pula menjadi sasaran jenaka sebegini.

Sering kita dengar pepatah, ‘hormat orang kalau mahu dihormati’. Namun, dalam konteks Islam, prinsip asas ini nampaknya kerap diabaikan oleh segelintir pihak. Mereka menuntut umat Islam agar lebih terbuka dan kononnya meraikan kebebasan, tetapi terlupa Muslim turut mempunyai maruah dan batas akidah yang wajib dipelihara.

Kita perlu ingat Islam merupakan tunjang kehidupan majoriti rakyat negara ini. Memandang remeh hukum-hukumnya hanya akan menyalakan api kemarahan dan menebarkan rasa tidak senang antara kaum dan agama.

Jika benar kita mendukung kepelbagaian, tunjukkanlah rasa hormat yang tulus dan saksama. Usah sekadar mendabik dada bercakap soal toleransi, sedangkan sensitiviti umat Islam dibiarkan diinjak.

Berkomunikasilah dengan akal budi, fahami sensitiviti kumpulan sasar, gunakan kata yang sesuai dan elakkan sebarang unsur penipuan atau penghinaan.

Akhir sekali, sebelum menuding jari, tepuklah dada tanya selera. Adakah kita serius mahu mengejar keharmonian? Pastikan penghormatan terhadap agama tidak dipandang ringan.

Jangan sampai isu-isu kecil, seperti istilah keju ham atau gurauan melampaui batas terhadap nama Nabi, akhirnya menjadi api dalam sekam yang merosakkan perpaduan.

Walaupun anda mungkin kurang bersetuju dengan pendirian umat Islam, asas empati wajar dikekalkan. Sedikit kepekaan dan kesopanan berbahasa tidak akan memudaratkan, malah inilah kunci keamanan serta keharmonian. Saling memahami, menghormati dan paling mustahak, berlaku jujur dalam setiap tindak-tanduk.-UTUSAN

PROFESOR MUHAMMAD SAID BANI
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN