Tingkat nilai pasaran rambutan

Tingkat nilai pasaran rambutan

MASA depan industri rambutan terletak pada keupayaan semua pihak untuk memanfaatkan potensi sepenuhnya buah tempatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUAH rambutan mempunyai potensi untuk dikembangkan dengan lebih jauh melalui kolaborasi kerajaan dan sektor swasta. Buah itu  boleh dipromosikan di pasaran domestik dan antarabangsa.

Pertama, penggunaan teknologi terkini seperti pengawalatur tumbuhan perlu diperluaskan untuk meningkatkan pengeluaran rambutan sepanjang tahun.

Teknologi ini menggunakan hormon untuk menginduksi pendebungaan rambutan bagi memastikan pokok rambutan akan berbuah walau di luar musim utama.

Kedua, inovasi pelbagai produk hiliran seperti air tin rambutan, gula-gula rambutan, rambutan kering, jem, jeli, koktel dan jeruk. Produk ini bukan sahaja lebih tahan lama tetapi juga mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi.

Namun, semua produk hiliran perlu mematuhi piawaian keselamatan makanan seperti pensijilan halal dan Sistem Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) bagi menjamin keselamatan serta kebolehpasaran di peringkat antarabangsa.

Ketiga, aplikasi teknologi pemprosesan makanan perlu dipergiatkan untuk memastikan produk rambutan dapat dihasilkan dengan kualiti tinggi. Contohnya, inovasi seperti aiskrim atau sirap rambutan boleh menarik minat pasaran yang lebih luas.

Keempat, kaedah pemasaran kreatif, termasuk platform e-dagang dan strategi promosi digital, dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang produk rambutan dalam kalangan pengguna tempatan dan juga antarabangsa.

Kelima, mengubah cara penanaman rambutan kearah ladang rambutan berskala besar yang bersistematik. Hasil buah rambutan tersebut boleh dikumpulkan di pusat pengumpulan yang dilengkapi dengan kemudahan bilik sejuk bagi memastikan kualiti buah terjaga sepanjang tahun.

Keenam, aktiviti penyelidikan perlu dipergiatkan bagi menghasilkan varieti rambutan baharu yang lebih tahan lama dan berkualiti tinggi. 

Masa hadapan industri rambutan terletak pada keupayaan semua pihak untuk memanfaatkan potensi sepenuhnya buah tempatan ini dan menjadikannya aset yang bernilai di peringkat global.

DR. MD. AIMAN TAKRIM ZAKARIA

Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN