Tingkat kekuatan pertahanan negara

Tingkat kekuatan pertahanan negara

KEDAULATAN dan pertahanan negara wajar diberi keutamaan khususnya keupayaan dalam melahirkan parajurit tempur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANTIKAN Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-23, Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar merupakan usaha mulia dan terbaik dalam mempertingkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejajar dengan matlamat pertahanan menyeluruh bagi memastikan setiap pelaksanaan serta strategi memerlukan idealisme kepemimpinan yang luar biasa.

Hal ini merupakan tanggungjawab besar yang memerlukan anjakan segera memandangkan keadaan geopolitik dunia semakin tidak menentu. Keadaan ‘perang’ kini menuntut perubahan drastik dari sudut latihan, keupayaan sumber manusia, teknologi dan paling penting merangka strategi yang berkesan bagi menangani serangan serta ancaman baharu.

Pertahanan negara tidak boleh lagi lesu atau ketinggalan daripada bentuk serangan mahupun ancaman dalam dan luar yang memerlukan kepimpinan tertinggi meneroka bentuk pelaburan pertahanan yang lebih moden dan canggih.

Sudah sampai masanya ATM menubuhkan cabang pertahanan siber dan digital bagi memastikan persiapan melawan sebarang bentuk ancaman dalaman dan luaran melalui perang siber dipertingkatkan sama ada melalui kumpulan risikan, penangkis propaganda, unit penyelidikan dan pembangunan teknologi senjata baharu, pembangunan digital pertahanan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) terhadap pengesanan serta penyaringan keselamatan khususnya yang memerlukan kepakaran menggunakan teknologi terkini.

Kebergantungan sumber tenaga manusia yang terhad dan penggunaan senjata lama wajar diberikan perhatian serius kerana keupayaan pertahanan kini sangat memerlukan perubahan segera memandangkan teknologi tinggi dan kepakaran perang siber digital akan mewujudkan pertahanan negara yang lengkap dan menyeluruh.

Teknologi terkini seperti alat pengintipan dan risikan diperlukan bagi memantau ‘gerakan’ musuh dengan pantas serta elemen yang mengganggu gugat kedaulatan negara.

Malaysia mempunyai keupayaan membangunkan cabang pertahanan siber dan teknologi AI dengan rakan strategi pertahanan negara luar yang sedia menjalinkan kerjasama baik bagi memastikan keamanan serantau dapat dipertingkatkan bersama.

Negara memerlukan anjakan segera bagi memastikan keupayaan membina teknologi senjata dan sistem pertahanan moden dapat dibangunkan segera melalui pelan penyelidikan dan pembangunan yang pantas.-UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan

Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN