Tindakan tegas terhadap koperasi perdaya pelabur

Tindakan tegas terhadap koperasi perdaya pelabur

MALAYSIA perlu bebas daripada cengkaman jenayah komersial yang semakin hari cuba mencabar kedaulatan undang-undang negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA melaporkan kegiatan sindiket pelaburan koperasi yang memperdayakan ramai pelabur sehingga jutaan ringgit perlu dibanteras sehingga ke akar umbi. Hal ini memerlukan sinergi semua pihak badan berkuasa menyiasat dan mendakwa sekiranya timbul isu jenayah komersial melibatkan penggubalan wang haram atau memperdayakan mangsa dengan skim pelaburan yang tidak wujud.

Sebarang bentuk pelaburan yang dijalankan oleh koperasi perlu diaudit. Jika terdapat unsur penyelewengan serta pemalsuan dokumen maka pihak berkuasa sewajarnya menyita semua aset koperasi dan ahli lembaga pengarah yang terlibat dengan penipuan pelaburan.

Hal ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan ramai pelabur terdiri daripada pelbagai latar seperti pesara, penjawat awam serta swasta, warga emas dan lain-lain melabur sejumlah wang yang banyak dengan harapan pihak koperasi memberikan dividen ataupun keuntungan.

Lebih malang dividen yang diumumkan tidak dipulangkan kembali kepada pelabur. Ada pihak yang licik kononnya memasukkan semula dividen ke dalam akaun pelaburan tanpa kebenaran pelabur.

Pelabur bukan sahaja ditipu hidup-hidup tetapi diperbodohkan oleh pihak koperasi yang menyeleweng duit pelabur. Justeru, tindakan tegas dan hukuman berat wajar dilaksanakan bagi menjamin duit pelabur dan dividen dikembalikan semula kepada pelabur.

Taktik penipuan yang dijalankan sememangnya licik. Sudah sampai masanya kerajaan perlu memastikan setiap aktiviti yang dijalankan oleh koperasi dipantau, diaudit dan jika terbukti wujud penyelewengan maka semua yang terlibat perlu di bawa ke muka pengadilan.

Malaysia perlu bebas daripada cengkaman jenayah komersial yang semakin hari cuba mencabar kedaulatan undang-undang negara. Penjenayah ini perlu dikenakan hukuman yang lebih berat agar menjadi pengajaran.

Institusi koperasi sewajarnya menjaga reputasi dan memelihara nama baik supaya tidak dicemari oleh pihak yang menipu atas nama koperasi, lebih-lebih lagi menggunakan slogan Melayu Islam atau seumpama dengannya.-UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN