PADA 12 Februari lalu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengeluarkan amaran terhadap penggunaan dummy buckles atau alat penyah aktif penggera tali pinggang keledar, yang boleh menjejaskan ciri keselamatan kereta, terutamanya sekiranya berlaku kemalangan.
MIROS menyatakan seorang aktivis keselamatan jalan raya menggesa kerajaan dan polis untuk mendedahkan jumlah kemalangan jalan raya yang membawa maut sepanjang dekad yang lalu melibatkan mangsa tidak memakai tali pinggang keledar.
Menurut MIROS, aksesori ini boleh mengganggu fungsi optimum komponen keselamatan seperti beg udara, yang berpotensi menjejaskan keselamatan pemandu dan penumpang sekiranya berlaku perlanggaran.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf dipetik media menyatakan jumlah notis tertinggi yang dikeluarkan semasa Operasi Khas Tahun Baharu Cina adalah kerana tidak memakai tali pinggang keledar, dengan 195 kesalahan direkodkan. Dari jumlah itu, lebih 30 peratus daripadanya didapati menggunakan aksesori itu, yang menyerupai tali pinggang keledar sebenar.
Walaupun terdapat usaha sejak 2020 untuk meningkatkan kesedaran mengenai risiko yang berkaitan isu ini, namun penjualannya masih berterusan di pasaran. Tambahan pula, ketiadaan undang-undang yang melarang penjualan produk itu masih menjadi kebimbangan.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah membangkitkan isu ini beberapa kali. Kami mengulangi gesaan kami dan menggesa Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk melarang penjualan alat penyah aktif penggera tali pinggang keledar di pasaran, termasuk dalam talian.-UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)










