DALAM era moden ini, tekanan hidup menjadi salah satu cabaran utama yang dihadapi rakyat Malaysia. Peningkatan kos sara hidup, ketidakseimbangan antara gaji dan perbelanjaan serta ketidaktentuan ekonomi menyebabkan ramai individu mengalami tekanan psikologi yang serius.
Tekanan ini bukan sekadar isu ekonomi tetapi berkait rapat dengan kesejahteraan mental rakyat. Dalam bidang psikologi, tekanan hidup yang berpanjangan boleh membawa kepada kesan negatif terhadap kesihatan mental, termasuk keresahan (anxiety), kemurungan dan tekanan emosi yang kronik.
Dari sudut psikologi, teori Maslow’s Hierarchy of Needs menjelaskan manusia mempunyai keperluan asas yang perlu dipenuhi sebelum mereka dapat mencapai kesejahteraan psikologi dan kepuasan hidup. Keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan keselamatan ekonomi merupakan keperluan paling utama dalam piramid Maslow. Namun, bagi ramai rakyat Malaysia, keperluan ini semakin sukar dipenuhi akibat peningkatan harga barangan asas, gaji yang tidak mencukupi serta beban kewangan yang semakin tinggi. Apabila keperluan asas tidak dipenuhi, individu akan berasa tertekan, gelisah dan sukar untuk mencapai kesejahteraan emosi serta perkembangan diri yang lebih tinggi.
Kesan tekanan hidup terhadap psikologi individu dapat dijelaskan melalui konsep “Chronic Stress” atau tekanan kronik. Tekanan kewangan yang berterusan boleh mencetuskan reaksi psikologi yang negatif seperti kebimbangan melampau, ketakutan terhadap masa depan, dan hilang kawalan terhadap kehidupan. Dari segi fisiologi, tekanan kronik boleh meningkatkan kadar hormon kortisol dalam badan, yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan seperti insomnia, tekanan darah tinggi, keletihan mental, dan dalam jangka panjang, meningkatkan risiko penyakit jantung serta gangguan mental seperti kemurungan dan gangguan kecemasan.
Dari perspektif psikologi positif, keseimbangan kerja dan kehidupan adalah elemen penting dalam kesejahteraan mental seseorang. Namun, di Malaysia, ramai pekerja menghadapi beban kerja yang melampau dengan waktu kerja yang panjang, tekanan kerja yang tinggi dan budaya kerja menekan. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyebabkan keletihan emosi, apabila seseorang mengalami kehabisan tenaga mental dan fizikal akibat tekanan kerja yang berterusan. Sindrom ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti kerja, tetapi juga membawa kesan negatif kepada kehidupan peribadi dan hubungan sosial individu.
Untuk mengatasi tekanan hidup dari perspektif psikologi, kerajaan dan masyarakat perlu mengambil langkah-langkah proaktif dalam meningkatkan kesejahteraan mental rakyat. Antaranya ialah menyediakan lebih banyak sokongan psikologi melalui kaunseling percuma atau subsidi rawatan psikologi agar rakyat yang mengalami tekanan hidup dapat mendapatkan bantuan profesional.
Selain itu, majikan juga perlu memainkan peranan dengan memastikan keseimbangan kerja dan kehidupan pekerja terjaga, seperti menawarkan waktu kerja yang lebih fleksibel dan cuti yang mencukupi bagi mengurangkan risiko keletihan emosi.
Dalam konteks individu, penting untuk rakyat Malaysia mula meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dan tidak mengabaikan tanda-tanda awal tekanan atau kemurungan. Masyarakat juga perlu menghapuskan stigma terhadap rawatan psikologi dan melihatnya sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan yang sama penting seperti kesihatan fizikal. Amalan gaya hidup sihat seperti bersenam, mengamalkan pemakanan seimbang, mendapatkan tidur yang mencukupi serta meluangkan masa untuk aktiviti santai juga boleh membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan psikologi.
Dengan memahami bagaimana tekanan hidup memberi kesan kepada kesihatan mental serta mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih proaktif, kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan.
Jika kerajaan, majikan dan masyarakat bersama-sama berganding bahu dalam memperkukuhkan sistem sokongan mental dan ekonomi, Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan, tetapi juga dalam aspek kesejahteraan mental rakyatnya.-UTUSAN
MDM LYEZA
Parit Sulong, Batu Pahat
Johor










