BARU-BARU ini saya bercuti dan singgah di Kuala Terengganu sambil membeli-belah. Saya berjumpa dengan seorang peniaga di Pasar Payang yang memaklumkan tentang projek terbengkalai iaitu Bazar Warisan yang terletak di Bukit Puteri, Kuala Terengganu, bersebelahan Pasar Payang. Selama ini Bukit Puteri cukup sinonim sebagai lokasi tumpuan pelancong yang datang bertandang ke Terengganu.
Orang ramai boleh menaiki Bukit Puteri melalui bazar itu. Pemandangan indah sekitar bandar Kuala Terengganu dan muara Sungai Terengganu dapat dilihat dengan jelas di atas bukit itu. Malangnya projek terbengkalai tersebut merosakkan landskap bandar raya Kuala Terengganu.
Projek tersebut telah siap beberapa tahun lepas di zaman pemerintahan kerajaan terdahulu namun sehingga kini bangunan di kaki Bukit Puteri tersebut makin usang kerana tiada tindakan dari pihak berkuasa untuk memulih dan ‘menghidupkan’ persekitarannya. Ia menyakitkan mata terutama memberi imej negatif kepada orang luar lebih-lebih lagi pelancong yang datang bertandang ke Terengganu.
Kerajaan negeri perlu mengambil tindakan segera menyelesaikan isu ini kerana ia merugikan sekiranya tidak berbuat sesuatu. Ini kerana ia sebagai salah satu tarikan pelancongan, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Saya berharap pengurusan Kerajaan Negeri Terengganu yang melibatkan menteri besar, barisan exco, setiausaha kerajaan serta datuk bandar dapat memikirkan kaedah terbaik memastikan bazar terbengkalai ini dapat diberi nafas baharu.
Sebagai rakyat Terengganu, saya juga ternanti-nanti bilakah projek terbengkalai seperti Bazar Warisan dapat dimaju dan dibangunkan semula hasil cetusan idea pemimpin sedia ada. Saya yakin kerajaan negeri sedaya upaya bertekad serta mengelakkan pembaziran dan ketirisan yang melibatkan duit rakyat sebagai pembayar cukai.
PENYU MENANGIS
Rantau Abang, Terengganu










