PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan inisiatif yang diperkenalkan dengan matlamat untuk membentuk remaja yang lebih berdisiplin, berdaya saing dan berjiwa patriotik.
Dalam konteks remaja yang berisiko, termasuk mereka yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mengalami masalah disiplin atau kurang motivasi dalam kehidupan, PLKN boleh menjadi platform pemulihan dan pembangunan diri yang berkesan.
Remaja yang keciciran daripada sistem pendidikan formal atau terlibat dalam gejala sosial seringkali berdepan dengan masa hadapan yang tidak menentu. Oleh itu, program ini mampu menawarkan jalan keluar yang lebih positif melalui latihan kemahiran, pembentukan sahsiah dan pemantapan jati diri.
Selain aspek disiplin, salah satu kelebihan besar PLKN ialah peluang untuk remaja meningkatkan kemahiran sosial. Ramai remaja yang menghadapi masalah sosial seperti kurang keyakinan diri, mudah terpengaruh dengan rakan sebaya atau mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan baik.
Dalam program ini, mereka diletakkan dalam persekitaran yang menggalakkan interaksi dan kerjasama dengan pelbagai individu daripada latar belakang berbeza. Aktiviti berkumpulan, tugas berpasukan serta latihan kepimpinan yang dijalankan membantu mereka membina kemahiran komunikasi dan interaksi sosial yang lebih baik, sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi dunia luar.
PLKN juga berfungsi sebagai platform pemulihan psikologi dan emosi. Ramai remaja yang kecundang dalam akademik atau berdepan masalah keluarga mengalami tekanan dan hilang keyakinan terhadap masa hadapan mereka. Di PLKN, mereka bukan sahaja diberi bimbingan oleh jurulatih yang berpengalaman malah berpeluang mengenali potensi melalui pelbagai aktiviti pembangunan diri.
Dalam aspek patriotisme, PLKN turut memainkan peranan penting dalam menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan remaja. Melalui modul kenegaraan, peserta didedahkan dengan nilai-nilai kebangsaan, kepentingan perpaduan dan peranan sebagai warganegara yang bertanggungjawab. Aktiviti seperti nyanyian lagu patriotik, latihan kawad dan perkongsian pengalaman daripada tokoh negara membantu mereka memahami dan menghayati erti sebenar patriotisme.
PLKN juga membantu mengurangkan risiko remaja terjerumus dalam jenayah atau gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka. Dengan rutin yang ketat dan aktiviti yang sentiasa mengisi masa, peserta kurang peluang untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah. Selain itu, pendedahan kepada kehidupan yang lebih sihat dan bermatlamat mendorong mereka untuk meninggalkan gaya hidup lama yang merugikan.
Walaupun PLKN memberi banyak manfaat kepada remaja yang berisiko, namun ia tetap berhadapan cabaran. Ada peserta yang pada mulanya sukar menyesuaikan diri dengan disiplin ketat dan persekitaran baharu. Terdapat juga segelintir yang tidak melihat kepentingan program ini dan berusaha untuk mengelaknya.
Oleh itu, penting bagi pihak pelaksana untuk memastikan pendekatan yang lebih fleksibel dan menarik digunakan agar peserta benar-benar memahami serta menghargai manfaat program ini. Modul latihan juga perlu dikemas kini agar lebih relevan dengan keperluan semasa, termasuk memperbanyakkan latihan kemahiran yang bersesuaian dengan dunia pekerjaan moden.
Dengan latihan yang sistematik, bimbingan berterusan serta peluang untuk membina semula keyakinan diri, peserta PLKN berpotensi untuk keluar daripada kitaran negatif dan membina masa hadapan yang lebih cerah.-UTUSAN
AZIZUL ASYRAF MD HELMI
SMK Dato Sulaiman Parit Sulong Johor










