Pinda segera Akta Polis 1967 libat perhimpunan aman

Pinda segera Akta Polis 1967 libat perhimpunan aman

PESERTA Himpunan Rakyat Benci Rasuah berarak dari hadapan Kompleks Sogo ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur, pada 25 Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA mendapat perkhabaran 13 orang mahasiswa diminta untuk hadir soal siasat berhubung perhimpunan aman Himpunan Rakyat Benci Rasuah. Saya menzahirkan solidariti untuk komrad-komrad yang berjuang menentang isu rasuah sehingga kini.

Namun begitu, ramai meluahkan rasa tidak adil apabila peserta perhimpunan disoal siaasat sedangkan ia mendapat ‘lampu hijau’ daripada perdana menteri.

Isu ini bukanlah pertama kali didengar malah ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, aktivis turut ditangkap dan disoal siasat. Di mana silapnya walaupun dibenarkan berhimpun namun pihak polis tetap mahu menjalankan siasatan?

Saya meminta masyarakat sivil untuk memahami Akta Polis 1967. Bahagian 7, klausa 21, 26 serta 27 yang dibaca bersama menerangkan tentang tugas polis dalam mendirikan sekatan jalan raya dan kuasa untuk mengawal selia perhimpunan, perjumpaan dan perarakan.

Saya hairan mengapa anak muda seperti Adam Adli Abdul Halim, Young Syefura Othman, Syahredzan Johan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang dahulunya memberontak di jalanan kini menjawat jawatan ahli Parlimen tidak mampu mengusulkan isu ini di Dewan Rakyat malah ahli Parlimen yang lama juga masih tidak melakukan pindaan ini walaupun maklum proses perhimpunan aman ini menjadi perdebatan setiap kali disoal siasat polis.

Keadaan ini jelas menunjukkan sebenarnya kita melantik ahli Parlimen yang tidak faham bagaimana sesuatu agensi kerajaan itu berfungsi dan mengapa permasalahan yang berulang-ulang ini terjadi. Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menyatakan sokongan solidariti pada peserta demonstrasi mahupun membenarkan mereka berhimpun tetapi tanpa penggubalan Akta Polis 1967 di Dewan Rakyat maka isu ini akan berulang.

Oleh itu, saya meminta ahli-ahli Parlimen baik dari blok kerajaan mahupun pembangkang mencapai kata sepakat untuk meminda akta dalam pindaan seksyen berkenaan supaya membenarkan perhimpunan tanpa ada sebarang soal siasat selepas perhimpunan bagi mengelakkan kejadian ini berulang lagi dan lagi. Sebenarnya saya agak kurang gemar melihat intimidasi, soal siasat aktivis atau individu berkenaan perhimpunan namun tiada tindakan lanjut daripada penggubal polisi bagi menghentikan kejadian ini daripada berulang.

Kita boleh mengeluarkan seribu kali kenyataan tidak bersetuju dengan tindakan pihak polis tetapi kerajaan juga harus faham bagaimana sistem itu berfungsi.

Janganlah menjadi ahli Parlimen jika tidak mampu menyelesaikan isu pokok seperti ini. Ia hanya memperlihatkan kelemahan ahli Parlimen yang kebanyakannya lebih gemar bermain ‘politik wayang’ berbanding menyelesaikan masalah pokok yang mampu dipinda dalam Dewan Rakyat. Sudah cukup sekadar beri sokongan, ayuh zahirkan dalam usul pindaan di Dewan Rakyat.-UTUSAN

YUSLAINI AZMI
Aktivis politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN