Pemimpin politik berdrama, rakyat sekadar jadi penonton

Pemimpin politik berdrama, rakyat sekadar jadi penonton

RAKYAT semakin muak dengan permainan politik yang berlarutan dan hilang keyakinan terhadap keupayaan pemimpin untuk membawa perubahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia politik, pemimpin seharusnya menjadi teladan dan memainkan peranan utama dalam memperjuangkan nasib rakyat. Namun, apa yang sering berlaku adalah adegan-adegan politik yang lebih menyerupai pentas drama.

Di kaca televisyen dan media sosial, kita disajikan dengan pertelingkahan, fitnah dan aksi-aksi yang seolah-olah dirancang untuk menarik perhatian.

Fenomena ini berlaku kerana politik menjadi medan perebutan kuasa, bukan lagi ruang untuk berkhidmat kepada masyarakat. Dalam usaha mencapai kepentingan peribadi, segelintir pemimpin sanggup menggunakan strategi yang bersifat sensasi untuk menonjolkan diri. Mereka tidak segan silu mencetuskan kontroversi atau memainkan isu-isu tertentu demi meraih populariti, meskipun tindakan itu mungkin menggugat kestabilan negara.

Perpecahan dalam kalangan pemimpin politik turut menambahkan keparahan situasi. Keghairahan untuk mendominasi menyebabkan wujudnya persaingan tidak sihat, bahkan sesama parti. Apabila berlaku perselisihan, rakyat dipaksa menyaksikan babak saling menuding jari dan mendedahkan kelemahan satu sama lain. Akhirnya, masalah sebenar yang dihadapi rakyat seperti kos sara hidup, pendidikan dan pengangguran terus terpinggir.

Media massa memainkan peranan penting dalam memperbesar-besarkan drama politik. Dengan perkembangan teknologi dan akses mudah kepada media sosial, segala isu yang timbul mendapat perhatian meluas dalam tempoh yang singkat. Namun, ia disalahgunakan pihak tertentu untuk mencipta naratif yang mengelirukan. Keadaan ini bukan sahaja mengaburi fakta sebenar tetapi juga mewujudkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Impak utama drama politik ini adalah ketidakpercayaan rakyat terhadap pemimpin. Rakyat semakin muak dengan permainan politik yang berlarutan dan hilang keyakinan terhadap keupayaan pemimpin untuk membawa perubahan. Dalam suasana ini, mereka cenderung menganggap setiap keputusan politik sebagai helah atau agenda tersembunyi. Keadaan ini berbahaya kerana ia melemahkan institusi demokrasi yang sepatutnya menjadi teras pemerintahan negara.

Rakyat juga menjadi mangsa apabila isu-isu penting diabaikan. Ketika pemimpin sibuk berdrama, perancangan dasar dan pelaksanaan program pembangunan sering kali tergendala.

Pendidikan politik kepada rakyat adalah penting. Rakyat perlu dididik untuk menjadi lebih bijak dalam menilai pemimpin dan membuat keputusan ketika pilihan raya. Mereka tidak seharusnya terpedaya dengan retorik kosong atau janji manis yang hanya bertujuan untuk meraih undi. Sebaliknya, mempertimbangkan rekod pencapaian dan keikhlasan pemimpin dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Pemimpin politik perlu mengambil langkah introspektif dan mengutamakan tanggungjawab terhadap rakyat. Mereka harus sedar mandat yang diberikan rakyat adalah amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti. Dalam menjalankan tugas, mereka perlu bersikap matang dan menjauhkan diri daripada sebarang bentuk drama yang boleh mencemarkan imej politik.

Institusi-institusi penguatkuasaan undang-undang juga perlu memainkan peranan dalam memastikan politik berjalan dengan adil dan beretika. Pemimpin yang terlibat dalam salah laku atau salah guna kuasa perlu diambil tindakan tegas tanpa mengira kedudukan mereka. Langkah ini bukan sahaja dapat memulihkan keyakinan rakyat tetapi juga mewujudkan persekitaran politik yang lebih bersih dan berwibawa.

Sementara rakyat perlu bersatu padu untuk menuntut perubahan yang lebih baik dalam sistem politik. Sebagai kuasa utama dalam demokrasi, rakyat berhak bersuara dan menuntut pemimpin agar memberi keutamaan kepada kebajikan mereka.

Rakyat perlu menunjukkan mereka tidak sekadar menjadi penonton tetapi juga penggerak kepada perubahan yang diinginkan.

Kesimpulannya, drama politik hanya membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Pemimpin perlu sedar bahawa tugas mereka adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan mencipta sensasi. Sebaliknya, rakyat perlu memainkan peranan aktif untuk memastikan pemimpin menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Hanya dengan cara ini, kita dapat membina negara yang lebih makmur dan stabil untuk generasi akan datang.-UTUSAN

CHE RAHMAH AHMAD

Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN