SAYA tertarik dengan pelbagai teguran dan nasihat yang diberikan oleh Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin kepada pihak-pihak tertentu semasa memberi ceramah mingguannya di sebuah masjid di Kangar baru-baru ini.
Teguran pertama diberikannya kepada mereka yang mendapat tauliah untuk menyampaikan ceramah agama di masjid-masjid di seluruh Perlis.
Mufti tersebut mengingatkan penceramah jangan sama sekali menggunakan perkataan-perkataan kasar dan lucah semasa memberi ceramah hingga menyebabkan ia tidak enak didengari oleh jemaah.
Beliau menegaskan, Islam tidak menyuruh umatnya mengeluarkan perkataan-perkataan kasar dan lucah hingga memuakkan mereka yang mendengarnya.
Dalam ceramah tersebut juga Mohd. Asri turut menasihatkan imam supaya tahu mengubah suai dan menyesuaikan keadaan semasa.
Katanya, dalam keadaan sekarang, masuk waktu Subuh agak lewat, maka, imam janganlah membaca ayat terlalu panjang sedangkan jemaah perlu mengejar masa untuk ke pejabat dan menghantar anak ke sekolah.
Beliau tidak mahu disebabkan ada imam membaca ayat agak panjang, menyebabkan jemaah tidak khusyuk sembahyang kerana mengingatkan anak-anak menunggu di rumah untuk ke sekolah, sedangkan mereka pula perlu bergegas untuk ke pejabat.
Asri juga turut menegur mereka yang menawar diri untuk menjadi imam di surau-surau di kawasan rehat dan rawat (R&R) agar tidak membaca ayat terlalu panjang sedangkan para jemaah perlu segera menaiki bas yang sampai masa untuk bertolak.
Katanya, bukan tempat dan masanya bagi mereka yang menawar diri untuk menjadi imam hendak menunjuk jaguh boleh membaca ayat-ayat panjang, sedangkan anak-anak jemaah tidak khusyuk sembahyang.
Justeru, saya juga ingin menasihatkan kepada mereka yang berkenaan agar mengambil iktibar dari teguran dan nasihat mufti tersebut supaya tiada sesiapa yang akan menganggap Islam sebagai sesuatu yang jijik dan membebankan.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










