KENYATAAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad baru-baru ini bahawa kerajaan sedia mempertimbangkan larangan vape menimbulkan persoalan besar tentang pendekatan pembentukan dasar negara.
Apakah justifikasi untuk membatalkan pendekatan sedia ada dan melarang penggunaan vape sedangkan pengalaman lalu membuktikan langkah sedemikian lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan?
Hanya setahun yang lalu, kerajaan memperkenalkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024. Antara sebab undang-undang ini diperkenalkan adalah kesedaran pengharaman vape bukan lagi pilihan yang praktikal.
Produk ini sudah menjadi arus perdana dan larangan menyeluruh hanya akan menyebabkan pasaran vape beralih ke pasaran gelap.
Hakikatnya, pengharaman bukanlah penyelesaian kepada masalah ini. Kita sudah melihat bagaimana larangan keras terhadap rokok seludup gagal membendung pasaran gelap. Sebaliknya ia terus berkembang tanpa kawalan, mengelak cukai dan mengakibatkan kehilangan hasil negara. Jika vape diharamkan, perkara sama akan berlaku.
Selain itu, langkah ini akan membawa kesan ekonomi yang ketara, terutamanya kehilangan pekerjaan dalam sektor vape yang sudah berkembang pesat dan matang di Malaysia, dengan ribuan pengusaha dan pekerja yang bergantung kepada industri ini untuk sumber pendapatan.
Apa mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat dan pelabur? Jika dasar kesihatan awam boleh berubah dalam sekelip mata, bagaimana keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara dapat dikekalkan?
Ketidaktentuan dasar seperti ini bukanlah perkara baharu. Kita seharusnya mengambil iktibar daripada kesilapan yang timbul akibat perubahan dasar yang tidak konsisten. Keputusan tergesa-gesa bukan sahaja mencetuskan kekeliruan tetapi juga memberi kesan negatif kepada rakyat.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan diskaun tol 50 peratus untuk semua musim perayaan tahun ini, walaupun Menteri Kerja Raya sebelum ini mengumumkan pengguna jalan raya akan dikenakan kadar tol penuh.
Selain itu, pada Disember 2024, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyangkal pengumuman Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai kenaikan tarif elektrik asas sebanyak 14 peratus untuk Semenanjung Malaysia, akan berkuat kuasa Julai 2025.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menafikan perkara itu namun baru-baru ini mengesahkan akan ada kenaikan tarif elektrik yang sederhana, tetapi hanya melibatkan sektor industri dan golongan berpendapatan tinggi, manakala 85 peratus isi rumah tidak akan terkesan.
Perubahan dasar yang mendadak seperti ini menimbulkan persoalan mengenai kestabilan dan konsistensi dasar kerajaan. Ia juga boleh menghakis kepercayaan rakyat dan pelabur terhadap keupayaan kerajaan dalam merancang dan melaksanakan dasar yang berkesan.
Kita tidak boleh mengulangi kesilapan sama. Yang diperlukan bukanlah larangan baharu, tetapi penguatkuasaan lebih ketat terhadap undang-undang sedia ada.
Jika benar kerajaan serius mahu melindungi kesihatan rakyat, usaha harus dipusatkan kepada meningkatkan pematuhan industri, mengharamkan penjualan kepada golongan bawah umur, serta mengekang produk seludup yang lebih berbahaya.
Dasar kesihatan awam tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa atau mengikut sentimen semasa. Keputusan yang dibuat perlu berasaskan realiti dan keberkesanan jangka panjang, bukan sekadar perubahan arah yang menimbulkan lebih banyak masalah daripada penyelesaian.-UTUSAN
SALIM MOHD. HELMI
Kuala Lumpur










