HIMPUNAN Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) mengecam keras kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk negara itu mengambil alih Gaza serta menggesa penduduknya berpindah ke negara Mesir dan Jordan.
Kenyataan itu bukan sahaja mencetuskan kontroversi, bahkan melanggar hak asasi manusia dan peraturan antarabangsa, sekali gus terus menyokong kezaliman yang dilakukan Israel kepada penduduk Palestin di Gaza. Kenyataannya jelas seperti mahu melaksanakan ‘pembersihan etnik’ versi baharu.
Tambahan pula, kenyataan itu merendahkan imej AS sebagai kuasa besar dunia kerana sekadar menurut kehendak Israel, bersekongkol memusnahkan Palestin dan melanggar hak kemanusiaan.
Jenayah genosid ini bukan sekadar isu politik atau diplomasi antarabangsa, tetapi kemuncak pelanggaran kemanusiaan yang serius.
Oleh itu, tekanan global mesti diteruskan melalui saluran perundangan seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Masyarakat dunia, termasuk negara Islam dan gerakan hak asasi manusia perlu memperkukuh usaha menuntut keadilan bagi Gaza melalui sekatan ekonomi dan diplomatik serta sokongan kemanusiaan yang berterusan.
Kenyataan mana-mana pemimpin tidak sepatutnya mengaburkan realiti kezaliman dan jenayah perang mesti terus diadili demi keadilan dan keamanan sejagat.
Oleh itu, atas prinsip kemanusiaan dan keadilan, HIKAM menggesa Trump agar menarik balik kenyataannya mengenai Gaza dan menghentikan segala bentuk sokongan kepada Israel.
Hakikatnya, Israel ialah sebuah negara haram yang menjajah wilayah sah milik Palestin. Sewajarnya, penduduk Israel yang harus meninggalkan tanah jajahan itu, sementara rakyat Palestin berhak kembali ke tanah air mereka yang asal.
HIKAM juga menggesa negara-negara di dunia dan komuniti antarabangsa yang prihatin dengan isu Palestin supaya terus menekan AS dan sekutu-sekutunya agar menghentikan bantuan kepada Israel.
HIKAM yakin majoriti negara dan komuniti antarabangsa akan menyokong tekanan ini demi membantu dan mengembalikan hak asasi manusia kepada rakyat Palestin.-UTUSAN
HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA (HIKAM)
Kuala Lumpur










