INSIDEN seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang maut gara-gara tercekik selepas memakan gula-gula kenyal atau gummy baru-baru ini seharusnya membuka mata banyak pihak agar kejadian seumpamanya tidak berulang lagi.
Langkah segera perlu diambil terhadap pihak yang berkenaan seperti mengenakan tindakan setimpal berlandaskan undang-undang memandangkan insiden tersebut melibatkan kehilangan nyawa. Selain itu, ia juga boleh menjadi peringatan kepada pihak-pihak terbabit seperti pengilang, pengimport malah penjual supaya lebih peka terhadap produk yang bersesuaian untuk dijual kepada kanak-kanak.
Meskipun telah wujud Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman di Luar Pagar Sekolah Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Edisi Kedua 2021) yang menyatakan aktiviti penjualan dalam radius 40 meter dari pagar sekolah adalah tidak dibenarkan namun masih terdapat segelintir penjaja tidak menghiraukan arahan tersebut.
Pemeriksaan mengejut secara kerap dan merampas produk makanan yang didapati tidak sesuai untuk kanak-kanak boleh dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap penjaja yang ingkar peraturan. Pada masa sama, penjaja perlu mengambil peluang memperbaiki kaedah jualan yang bersesuaian untuk kanak-kanak.
Terdapat cadangan penjualan gula-gula kenyal perlu diharamkan sepenuhnya bukan sahaja di kawasan sekolah bahkan juga di premis perniagaan makanan. Perkara ini boleh diperhalusi atau diberi kelonggaran oleh pihak berwajib dengan menetapkan beberapa kriteria atau standard ke atas saiz, tekstur dan juga label amaran risiko tersedak.
Selain itu, sudah tiba masanya satu undang-undang khas khusus yang boleh mengawal isu bahaya tersedak berkaitan makanan digubal serta mewajibkan ujian keselamatan makanan terhadap produk berisiko tersedak terutamanya dari luar negara.
Dalam pada itu, orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga perlu memantau dan menasihatkan anak-anak supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan terutamanya yang berisiko tercekik.
Selain itu, ibu bapa juga seharusnya memiliki pengetahuan mengenai jenis-jenis makanan yang menjadi penyebab utama tersedak atau tercekik. Contoh paling mudah adalah seperti gula-gula kenyal, jeli, kacang, anggur dan sebagainya.
Umumnya, makanan ringan yang memudaratkan kesihatan kanak-kanak amat mudah diperoleh di pasaran termasuk yang dijual secara dalam talian. Justeru, langkah Kementerian Kesihatan yang sebelum ini mengharamkan penjualan minuman manis dan makanan segera di kantin sekolah sejak 2017 amat wajar dan perlu diperketatkan lagi penguatkuasaannya.
Pengambilan makanan ringan secara berlebihan tidak memberikan sebarang manfaat bahkan berisiko memudaratkan, sama ada berpunca daripada kandungan bahan dan bentuknya.
Bahkan, kebanyakan makanan ringan yang terjual mengandungi gula, pewarna, pengawet serta bahan-bahan lain yang boleh memberikan kesan buruk jangka pendek dan jangka panjang terhadap kesihatan kanak-kanak.
Justeru, satu pendekatan realistik perlu diambil pihak berwajib agar kanak-kanak terhindar dari risiko menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi atau kencing manis apabila meningkat remaja dan dewasa nanti akibat dari pengambilan makanan ringan yang tidak terkawal.-UTUSAN
MOHD. SALLEH OSMAN
Banting, Selangor










