Jangan terpedaya amalan palsu bulan Syaaban

Jangan terpedaya amalan palsu bulan Syaaban

UMAT Islam boleh mencontohi amalan Nabi Muhammad SAW yang memperbanyakan ibadah puasa pada bulan Syaaban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA kini berada di bulan Syaaban. Ia adalah bulan yang dimuliakan Rasulullah SAW kerana baginda membanyakkan puasa sunat.

Dalam keghairahan sebahagian umat Islam mengerjakan amalan khusus pada malam atau siang Nisfu Syaaban, tahukah anda terdapat hadis tentang amalan khusus berstatus palsu?
Terdapat beberapa hadis seperti:

-“Siapa yang menunaikan solat pada malam Nisfu Syaaban 100 rakaat dengan membaca Surah Ikhlas sebanyak 1,000 kali, maka Allah penuhi hajatnya pada malam itu, diberi pahala yang tidak terhitung beratnya, dikurnia 70,000 bidadari yang setiap mereka memiliki 70,000 pelayan kecil”.
-“(Siapa solat seperti di atas) Allah mengutus kepadanya 100 malaikat yang akan memberinya khabar gembira”.
-“Siapa yang menunaikan solat pada malam Nisfu Syaaban sebanyak 12 rakaat dan membaca Surah Ikhlas pada setiap rakaat, dia dapat memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya yang telah ditetapkan memasuki neraka”.
Kata Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, hadis-hadis ini direka selepas 400 tahun selepas kedatangan Islam dan ia muncul di Baitulmaqdis. Tiada satu pun hadis mengenainya yang sahih. (Ibnu Qayyim Al-Manar a-Munif fi al-Sahih wa al-Daif).
“Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, maka bangunlah pada malamnya dan berpuasalah pada siangnya”.

Kata Ibnu al-Jawzi, hadis ini tidak sahih (sangat lemah). Ibnu Lahi’ah seorang yang matruk (Ibnu al-Jawzi)

Sebagai Nabi al-Rahmah, baginda SAW memperbanyakkan ibadah puasa pada bulan ini dan menjadi petunjuk dicontohi. Selain itu, Islam tidak mengikat insan untuk beramal dengan apa jua ibadah khusus seperti solat, bacaan al-Quran dan infak sepanjang bulan yang mulia ini. Sesuai dengan prinsip umum dalam syariat Islam, segala bentuk ibadah harus dilakukan berdasarkan dalil yang jelas dalam al-Quran dan hadis serta tanpa sebarang pengkhususan kecuali ada nas yang sahih yang mengkhususkannya.

Oleh itu, sama seperti malam-malam lain, ibadah pada malam Nisfu Syaaban dilakukan tanpa ada pengkhususan ibadat tertentu berserta fadhilatnya. Pengkhususan ibadah tanpa bukti yang sahih boleh menyebabkan kekeliruan. Ini kerana tanpa keterangan ilmiah, umat Islam akan mengkhususkan ibadah khusus pada malam tersebut dengan mengharapkan kelebihannya di hari akhirat kelak, walhal mereka tidak memperoleh apa-apa kerana ia tidak disyariatkan.

Umat Islam perlu berhati-hati agar tidak menambah apatah lagi mencipta ibadah baharu yang tidak mempunyai dasar daripada syarak.

Walaupun tiada dalil sahih yang mensyariatkan ibadah tertentu untuk malam Nisfu Syaaban, umat Islam tetap boleh melaksanakan amalan-amalan yang biasa secara umum seperti solat malam, membaca al-Quran, berzikir dan doa semata-mata mengharapkan keredaan dan pahala daripada Allah SWT.

Sebagai umat yang mencintai Rasulullah, kita seharusnya beramal dengan apa yang dibawa oleh baginda kerana ia sememangnya sempurna tanpa perlu kepada penambahan.

Memadailah petunjuk yang dibawa baginda untuk kita contohi tanpa beramal dengan ibadah yang tiada sumber yang jelas apatah lagi yang direka-reka.-UTUSAN

WAN DAREA HAZWANI WAN MOHD. NAZULKIPLI & NUR JANNATUL SOLIHAH ZAMZURI
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN