Jangan biarkan anak dalam ‘dunia teknologi’ tanpa pantauan

Jangan biarkan anak dalam ‘dunia teknologi’ tanpa pantauan

MURID yang terdedah kepada kandungan dalam talian secara berterusan mungkin mengalami perubahan sikap dan pemikiran yang tidak sihat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang semakin berkembang pesat dengan teknologi dan media sosial, murid sekolah rendah dan menengah semakin terdedah kepada pelbagai cabaran yang boleh memberi kesan terhadap perkembangan mental, emosi dan moral.

Tanpa pemantauan yang baik daripada ibu bapa dan guru, anak-anak ini mungkin terjebak dalam pengaruh negatif yang sukar dikawal.

Sekiranya mereka terpengaruh dengan rakan yang suka melakukan perkara negatif seperti ponteng sekolah, bercakap kasar atau terjebak dalam aktiviti tidak bermoral, ia boleh memberi kesan buruk terhadap masa hadapan mereka.

Walaupun terdapat banyak bahan hiburan yang memberi nilai pendidikan, terdapat juga kandungan yang mengandungi unsur tidak sihat seperti romantik melampau, adegan tidak sopan serta budaya luar yang bertentangan dengan norma masyarakat kita.

Begitu juga permainan video, sekiranya dibiarkan tanpa kawalan yang betul, ia boleh membawa kepada masalah ketagihan serta pendedahan kepada unsur-unsur tidak sihat. Banyak permainan dalam talian mengandungi watak-watak berpakaian tidak sopan, unsur keganasan melampau serta pendedahan kepada perbualan yang tidak sesuai. Ketagihan bermain permainan video boleh menyebabkan murid mengabaikan pelajaran, kurang bersosial dan mengalami masalah kesihatan seperti gangguan tidur dan keletihan mental.

Memandangkan begitu banyak cabaran dan pengaruh negatif yang boleh memberi kesan kepada anak-anak, ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam membimbing mereka.

Beberapa langkah boleh diambil termasuklah memantau penggunaan gajet dan internet, memupuk komunikasi terbuka agar anak-anak rasa selesa untuk berbincang mengenai perasaan dan cabaran serta mengajar nilai-nilai agama juga moral untuk membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik dalam kehidupan.

Selain itu, ibu bapa perlu memastikan persekitaran yang sihat dengan mengambil tahu siapa rakan-rakan anak mereka serta aktiviti yang dilakukan di luar rumah.

Penyediaan alternatif yang bermanfaat seperti galakan untuk menyertai aktiviti sukan, membaca atau program kemasyarakatan juga boleh membantu mengisi masa anak-anak dengan perkara yang berfaedah.

Ibu bapa dan guru harus bekerjasama untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan dan bimbingan yang terbaik agar mereka dapat membesar dengan nilai-nilai yang positif. Dengan pemantauan, komunikasi yang baik serta didikan yang seimbang, kita dapat membantu generasi muda ini menjadi individu yang berjaya dan berakhlak mulia.-UTUSAN

SITI KHADEJAH MOHD. SAID
Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA)
Parit Sulong, Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN