MESKIPUN kandas di peringkat kumpulan namun persembahan hambar yang ditampilkan barisan pemain Harimau Malaya pada kejohanan Piala ASEAN kali ini tidak harus dipersalahkan. Bahkan bekas pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente juga harus diberikan pujian kerana bersikap profesional dan kekal fokus membimbing skuad negara walaupun pengumuman pelantikan penggantinya dicanang ketika kempen Piala ASEAN masih rancak berjalan.
Kempen Piala ASEAN kali ini bukanlah detik terbaik buat pasukan negara yang tidak berjaya mengumpul beberapa pemain utama kerana tidak dilepaskan oleh beberapa kelab. Agak aneh kerana sebelum ini jarang kedengaran berlaku situasi pemain dipanggil pulang oleh kelab ketika mereka sedang mewakili negara.
Tampil dengan ‘skuad kedua’ ternyata cukup memberi kesan terhadap corak persembahan Harimau Malaya pada kempen kali ini. Persiapan cacamarba di sebalik tabir dengan sasaran ‘melucukan’ konon untuk mara ke pentas final sebenarnya adalah sesuatu yang boleh dianggap sebagai sikap ambil mudah oleh pihak pengurusan tertinggi bola sepak tanah air.
Sama ada sesuatu kejohanan itu berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau sebaliknya tidaklah membawa makna bahawa penyertaan skuad negara boleh dibuat secara sambil lewa. Peminat bola sepak tempatan sentiasa dahagakan sesuatu yang positif dari skuad kebangsaan tidak kira walau apa sekalipun taraf kejohanan yang disertai. Hatta perlawanan persahabatan sekalipun peminat tetap mengharapkan persembahan terbaik dari skuad negara.
Apapun, penjenamaan struktur organisasi baharu pengurusan Harimau Malaya seperti yang dilaporkan diharap dapat memacu pasukan kebangsaan ke arah yang lebih baik. Pelantikan dua individu penting, Peter Cklamovski sebagai pengendali baharu dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih bawah 23 tahun (B-23) negara yang memulakan tugas secara rasmi mulai hari ini diharap mampu memberikan impak positif kepada bola sepak negara.
Di samping itu, isu pembangunan membabitkan program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang dilihat tidak berkesan dalam melahirkan pemain untuk skuad negara perlu ditangani sebaiknya selepas ini.
Misi melayakkan Harimau Malaya ke Piala Asia 2027 dan melonjakkan ranking skuad kebangsaan menghampiri kelompok 100 terbaik dunia perlu diterjemahkan supaya tidak menjadi bahan kritikan peminat bola sepak negara. Malaysia sebelum ini pernah membawa masuk jurulatih asing bertaraf dunia seperti Claude Le Roy namun akhirnya tidak ke mana. Justeru, diharap pisang tidak berbuah dua kali.
Sokongan padu yang kembali diberikan semula kepada Harimau Malaya dengan lebih 30,000 penyokong hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini adalah petanda baik buat skuad negara. Meskipun diikat tanpa jaringan oleh Singapura yang menyebabkan Harimau Malaysia tersingkir awal dalam saingan kali ini namun peminat menghargai persembahan dan kesungguhan yang ditunjukkan para pemain. Justeru jangan lagi keyakinan peminat dipermainkan oleh pengurusan bola sepak negara.
Lupakan seketika kegagalan di Piala ASEAN 2024. Skuad negara bukan tidak pernah mengalami keadaan seperti ini. Kali terakhir Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan adalah pada edisi 2016. Bak kata Pau Marti, “Perjalanan bola sepak Malaysia tidak akan pernah ada penghujungnya”.
MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor










