Tanggungjawab kita bentuk peribadi Generasi Beta

Tanggungjawab kita bentuk peribadi Generasi Beta

GENERASI baharu memerlukan bimbingan dan perhatian, bukan hanya dari segi fizikal tetapi juga mental.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun 2025 membawa kita ke lembaran baharu dalam sejarah. Generasi baharu, yang dikenali sebagai Generasi Beta, mengorak langkah perjalanan dalam proses membentuk identiti dan peribadi.

Dalam era digital ini, Generasi Alpha dan Beta hidup dalam pelbagai bentuk teknologi terutamanya kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR) dan internet kebendaan (IoT) menyebabkan peranan ibu bapa menjadi semakin kritikal. Apa yang mereka lihat, dengar dan alami setiap hari bukan sahaja membentuk pemikiran tetapi juga akan membentuk masa depan.

Seperti pemakanan dan diet sihat yang penting untuk tubuh, sajian mental diberikan kepada anak-anak memainkan peranan besar dalam perkembangan. Apa yang diserap oleh minda, itulah natijah peribadi yang terbentuk.

Melalui gerbang teknologi, kandungan yang disajikan kepada anak-anak dengan unsur negatif seperti media toksik, stereotaip ganas serta penggunaan bahasa kasar boleh merosakkan keyakinan diri dan membentuk tingkah laku yang buruk. Benar teknologi moden adalah makanan ruji generasi kini, tetapi persoalannya adakah kandungan digital yang diserap mempunyai nilai yang sihat?

Statistik kes jenayah melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah pada tahun lalu seperti yang dilaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menunjukkan sebanyak 293 kes direkodkan dalam tempoh lima tahun, dengan 2022 mencatatkan jumlah tertinggi (15 kes bagi pelajar sekolah rendah dan 277 kes bagi pelajar sekolah menengah). Hal ini ternyata membuktikan anak-anak kita memerlukan bimbingan yang lebih teliti terutamanya dalam hal pembinaan akhlak dan moral.

Justeru, ibu bapa harus cakna dengan pemilihan kandungan yang ditonton oleh anak-anak seperti memilih makanan yang sihat. Ibu bapa kini memainkan peranan penting dalam mengatur pilihan kandungan digital seharian anak-anak. Personaliti mereka akan terbentuk baik melalui pendedahan kepada kandungan positif seperti cerita inspirasi, nilai moral, perbincangan kritis dan kreatif serta pendidikan rohani. Ini semua dapat membantu membina keyakinan, empati dan daya tahan yang tinggi.

Sebagai umat Islam, tanggungjawab ini menjadi lebih besar. Seperti yang ditekankan sarjana Islam, Professor Dr. Ismail Raji al-Faruqi, pendidikan bukan sekadar menuntut ilmu tetapi juga pembentukan individu yang hidup berlandaskan nilai-nilai Islam. Anak-anak harus dibimbing untuk memahami konsep tauhid (keesaan Allah) dan menjalankan tugas mereka sebagai khalifah di muka bumi. Generasi kini adalah pewaris masa depan. Dengan membentuk mereka dengan sajian mental yang baik adalah kunci untuk memastikan golongan ini menjadi pemimpin yang adil, penuh nilai kemanusiaan dan berintegriti.

Secara kesimpulannya, 2025 adalah peluang untuk kita bermula semula dengan matlamat yang lebih jelas. Generasi baharu memerlukan bimbingan dan perhatian, bukan hanya dari segi fizikal tetapi juga mental.

Asas kukuh kepada pembentukan peribadi dan moral yang diberikan akan menentukan siapa mereka di masa hadapan. Sebagai ibu bapa, guru dan masyarakat, tanggungjawab merintis Generasi Alpha dan Beta adalah milik kita bersama.-UTUSAN

NUR FAATHINAH MOHAMMAD ROSHDAN
Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa,
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN