SEJAK panggilan tabung derma jihad berkumandang untuk memastikan perjuangan Pas memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekali lagi parti itu membuktikan usaha untuk memperjuangkan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan perintah tahanan rumah dalam satu perhimpunan yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Situasi ini sudah tentu agak pelik bagi sesetengah pihak yang mencurigai perjuangan Pas terutama rakan sekutu dan pimpinan tertinggi bagi Perikatan Nasional (PN), didominasi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Atas semangat jihad yang tinggi, Pas tidak peduli jika tindakan itu tidak direstui Bersatu kerana hanya melihat masa depan parti dalam PRU16, memerlukan mereka bergerak dengan lebih pantas dan bijak demi memastikan dapat menguasai Putrajaya tanpa dominasi Bersatu.
Manakala Bersatu masih lagi bergelut dengan isu perpecahan parti yang menyaksikan beberapa ahlinya berpecah disebabkan perselisihan dalaman. Justeru, Pas menunjukkan taringnya dengan ijtihadnya yang ‘tepat’ untuk terus memastikan parti itu kekal relevan untuk PRU16.
Pas sedar dengan bersolidariti bersama Najib akan mempertautkan hubungan penyokong bekas perdana menteri itu sebagai jalan terbaik untuk mendapatkan sokongan pada PRU16 memandangkan UMNO yang dipimpin Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi cukupfaham ‘perangai’ Pas yang mempunyai agendanya tersendiri berbanding Bersatu masih kabur.
Hal ini, pasti menjadi halangan buat Pas memandangkan pimpinan UMNO tidak akan membiarkan kerusi majoriti Melayu terlepas ke tangan Pas lagi.
Tidak mungkin UMNO akan melupakan sejarah bagaimana bekas presidennya dijadikan ‘modal’ sehingga menyebabkan parti itu kehilangan banyak kerusi majoriti Melayu.
Justeru, pendekatan Pas untuk bersolidariti buat Najib hanya strategi politik yang akan memberikan kesan buruk terhadap hubungannya dengan Bersatu demi memastikan survival politik terus mendapat sokongan.-UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis









