Sedia garis panduan anjur program agama

Sedia garis panduan anjur program agama

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) dan abatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan lebih giat membuat pemantauan bagi memastikan penganjuran program keagamaan dan kerohanian Islam menepati undang-undang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) mengambil perhatian dan akan meneliti isu yang timbul dari penganjuran Festival Darul Ehsan Berselawat: Rehlah Menuju Cahaya Shifa yang diadakan di Setia Alam pada 27 hingga 29 Disember 2024.

MAIS menegaskan semua program keagamaan di Selangor yang melibatkan aktiviti pengajaran berkaitan agama Islam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024, hukum syarak dan ketetapan pihak berkuasa agama.

Oleh itu, MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan lebih giat membuat pemantauan bagi membenarkan penganjuran program keagamaan dan kerohanian Islam menepati serta selari dengan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, seterusnya memastikan kesucian agama Islam dapat dijaga dengan baik.

MAIS bersama JAIS juga akan menilai semula prosedur sedia ada yang berkaitan dan membangunkan garis panduan yang lengkap bagi penganjuran program keagamaan dan kerohanian Islam di Selangor dengan penglibatan pihak berkuasa lain yang berkaitan. Ini bagi memastikan penganjuran program keagamaan dan kerohanian Islam di Selangor tidak dicemari dengan perkara yang boleh menjejaskan akidah orang Islam, kedudukan agama Islam serta keharmonian masyarakat.

MAIS menyeru kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang termasuk Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 yang berkuatkuasa pada 1 September 2024.

MAIS menasihatkan kepada semua penganjur program yang melibatkan program keagamaan dan kerohanian Islam agar merujuk kepada MAIS dan JAIS serta mematuhi undang-undang atau garis panduan yang telah ditetapkan untuk mengelak sebarang ruang yang boleh mencetus salah faham, pertikaian serta perlanggaran hukum syarak dan matlamat hukum syarak (maqasid syariah).

MAIS juga mengingatkan tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap mereka yang bertindak bersalahan dengan undang-undang yang berkuatkuasa.-UTUSAN

TAN SRI ABDUL AZIZ MOHD. YUSOF
Pengerusi
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN