Sampai bila kemalangan jalan raya jadi medan maut?

Sampai bila kemalangan jalan raya jadi medan maut?

KEMALANGAN jalan raya bukan sahaja meragut nyawa tetapi juga membawa kesan ekonomi dan emosi yang besar kepada keluarga mangsa serta masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STATISTIK laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan jumlah kemalangan, dengan lebih 400,000 kes dilaporkan pada 2023, melibatkan hampir 6,000 kematian. Sebahagian besar mangsa terdiri daripada penunggang motosikal, yang menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan. Keadaan ini lebih membimbangkan apabila banyak kemalangan berlaku di kawasan bandar dan lebuh raya utama seperti ebuhraya Utara Selatan (PLUS)dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), terutamanya semasa cuti panjang dan musim perayaan.

Seluruh negara dikejutkan dengan kes kemalangan ngeri yang berlaku baru-baru ini, membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204, Lebuhraya PLUS arah utara di Alor Gajah, Melaka. Ia mengorbankan tujuh mangsa termasuk kanak-kanak berusia dua tahun. Kejadian membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza itu turut menyebabkan 33 mangsa lain cedera.

Salah satu punca utama kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu yang tidak berhemah. Antaranya, pemanduan laju yang melampaui had kelajuan sering menyebabkan kemalangan serius. Selain itu, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, walaupun diwartakan sebagai kesalahan, masih menjadi kebiasaan yang membahayakan. Pemandu yang mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah juga menyumbang kepada kemalangan, terutama pada waktu malam dan hujung minggu. Keletihan turut memainkan peranan penting, terutamanya dalam perjalanan jarak jauh, apabila pemandu hilang kawalan akibat kurangnya rehat yang mencukupi.

Di samping itu, penyelenggaraan kenderaan yang tidak sistematik turut menjadi faktor utama. Masalah seperti sistem brek yang gagal berfungsi, tayar haus dan lampu isyarat yang rosak sering diabaikan oleh pemilik kenderaan. Kenderaan berat seperti lori dan bas juga kerap terlibat dalam kemalangan akibat muatan berlebihan atau kegagalan mekanikal. Kes seperti lori yang kehilangan kawalan di kawasan berbukit sering dilaporkan, menyebabkan kematian dan kecederaan parah. Kegagalan pemeriksaan berkala serta sikap sambil lewa pemilik kenderaan terhadap aspek penyelenggaraan menjadikan situasi ini semakin buruk.

Kerajaan perlu memastikan semua kenderaan menjalani pemeriksaan berkala yang lebih ketat, terutamanya kenderaan berat. Sistem pemeriksaan seperti yang diamalkan di negara maju boleh dijadikan model untuk memastikan setiap kenderaan berada dalam keadaan selamat.

Infrastruktur jalan raya juga perlu diselenggara dengan baik. Jalan rosak, papan tanda tidak jelas dan kekurangan lampu jalan menjadi penyumbang kepada kemalangan. Peningkatan teknologi kenderaan seperti penggunaan sistem brek anti-kunci (ABS), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan kamera pandang belakang perlu digalakkan terutamanya dalam pengeluaran kenderaan baharu. Insentif boleh diberikan kepada pengguna untuk menggalakkan pembelian kenderaan dengan teknologi keselamatan terkini.

Kemalangan jalan raya bukan sahaja meragut nyawa tetapi juga membawa kesan ekonomi dan emosi yang besar kepada keluarga mangsa serta masyarakat. Melalui penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, kempen kesedaran yang berterusan, serta kerjasama antara kerajaan, masyarakat, dan sektor swasta, pastinya kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Usaha ini bukan sahaja penting untuk keselamatan di jalan raya tetapi juga untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR dan PROFESOR MADYA
DR. NURULIZA ROSLAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN