KETERBATASAN fizikal mahupun mental sering dianggap sebagai kelemahan yang merencatkan kejayaan atau menghalang potensi seseorang untuk bersaing dengan cemerlang.
Namun, apabila golongan Orang Kurang Upaya (OKU) diberikan peluang, sokongan dan akses yang setara, mereka mampu membuktikan keupayaan luar biasa dan mencapai kejayaan setanding, malahan kadangkala mengatasi individu tanpa kekurangan fizikal.
Stephen Hawking merupakan nama yang tidak asing lagi di arena global. Beliau dikenali sebagai seorang ahli fizik dan kosmologi terkemuka yang berjaya menemukan teori-teori sains yang penting termasuk misteri lubang hitam di angkasa.
Karyanya yang bertajuk A Brief History of Time menjadi salah satu karya sains popular yang berjaya memperkenalkan konsep-konsep kompleks kepada masyarakat umum dengan gaya penulisan yang mudah difahami.
Penyakit Sklerosis Lateral Amiotrofik (ALS) yang dihidapinya tidak menghalang kecemerlangan beliau walaupun berdepan dengan kesukaran untuk berkomunikasi secara normal.
Stephen berkomunikasi melalui pergerakan satu jari atau mata sahaja melalui perantaraan komputer yang dilengkapi dengan sistem suara sintetik untuk berkomunikasi serta berkongsi penemuan ilmiahnya.
Di Malaysia, Profesor Dr. Ismail Salleh adalah seorang tokoh yang tidak kurang hebatnya. Sebagai seorang pakar ekonomi, beliau memberikan sumbangan besar dalam bidang pembangunan ekonomi dan dasar sosial di negara ini.
Beliau dikenali sebagai seorang intelektual yang lantang menyuarakan kepentingan inklusiviti dan keadilan sosial, terutama dalam memastikan golongan OKU tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.
Pelantikan beliau sebagai senator merupakan pengiktirafan yang memberikan peluang kepadanya untuk membawa isu-isu berkaitan pendidikan, peluang pekerjaan dan kemudahan infrastruktur yang lebih mesra OKU ke peringkat tertinggi hingga berjaya mendorong perubahan dasar inklusif dan adil.
Kedua-dua tokoh ini dan ramai lagi individu OKU cemerlang membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat, malah menjadi simbol keupayaan insan dalam menghadapi cabaran dengan penuh keazaman dan keyakinan.
Dengan peluang setara dan sokongan mencukupi, mereka bukan sahaja mampu setanding dengan individu lain, bahkan berupaya mencapai kejayaan gemilang, memperlihatkan kekuatan, semangat juang serta ketabahan yang luar biasa.
Namun, persoalan utama yang perlu direnungkan ialah sejauh manakah ruang dan peluang yang diberikan kepada golongan OKU untuk menjalani kehidupan secara mandiri dan setara tanpa diskriminasi? Adakah masyarakat kita benar-benar menerima mereka sebagai sebahagian daripada komuniti tanpa menyebabkan rasa terasing atau terpinggir?
Dengan kata lain, sejauh mana kita sebagai masyarakat telah cukup peka dan bersedia untuk menyediakan sokongan serta akses yang mampu memudahkan kehidupan mereka?
Misalnya, sekiranya ada OKU berkerusi roda yang hendak melintas jalan, adakah para pemandu mudah berhenti bagi memberi laluan kepada individu OKU tersebut atau perlu disuruh untuk berhenti memberi laluan?
Walaupun tindakan ini kelihatan remeh, ia mencerminkan tahap empati, keprihatinan dan kesedaran sosial yang wajar ada dalam diri masyarakat yang bertanggungjawab.-UTUSAN
BASMIN MAAROF
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia










