MENURUT Pangkalan Data Trauma Kebangsaan Malaysia, hampir 80 peratus kes trauma berpunca daripada kemalangan jalan raya, dengan 64 peratus kejadian melibatkan kecederaan otak traumatik (KOT).
Keadaan ini semakin membimbangkan apabila kadar kemalangan jalan raya melonjak daripada kira-kira 370,000 kes pada 2021 kepada 545,585 pada 2022. Ia terus meningkat kepada 598,635 pada 2023. Angka tersebut lebih tinggi daripada yang pernah dicatatkan sebelum pandemik.
KOT boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu KOT terbuka iaitu objek asing seperti peluru atau serpihan menembusi tulang tengkorak. Sementara KOT tertutup pula berlaku apabila daya luar menyebabkan otak terhentak atau bergerak di dalam rongga tengkorak, tanpa melibatkan penembusan pada tulang tengkorak.
Menurut Laporan Rawatan Rapi Malaysia pada 2017, kecederaan kepala adalah antara sebab utama kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU), berjumlah 7.1 peratus.
KOT boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur. Terjatuh, kemalangan jalan raya, kecederaan sukan dan hentakan daripada objek merupakan antara sebab utama ia terjadi.
Data menunjukkan KOT paling lazim berlaku dalam kalangan anak muda yang menunggang motosikal dan kanak-kanak. Mereka adalah golongan yang berisiko tinggi.
Menurut Pangkalan Data Trauma Kebangsaan Malaysia, kemalangan jalan raya kebanyakannya melibatkan 87 peratus lelaki dan 34 peratus daripadanya adalah golongan muda berusia 15 hingga 34 tahun.
KOT ringan, seperti konkusi otak, biasanya dirawat dengan pemantauan simptom, berehat dan ubat untuk melegakan kesakitan atau loya. KOT sederhana hingga berat pula mungkin memerlukan pembedahan segera untuk mengurangkan tekanan.
Bagi KOT sederhana atau parah mungkin memerlukan pembedahan dengan segera, penjagaan rapi dan ubat-ubatan untuk mengurangkan pengumpulan cecair di dalam otak, mencegah sawan dan membantu proses pemulihan.
KOT ringan, seperti gegaran atau konkusi otak, biasanya boleh sembuh dalam masa beberapa minggu sahaja.
Sementara itu, KOT sederhana hingga parah pula mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk sembuh.
Menariknya, kajian menunjukkan 75 peratus pesakit KOT sederhana hingga parah yang menjalani rehabilitasi neurologi yang rapi selama 12 bulan dapat mencapai tahap kefungsian yang baik. Walau bagaimanapun, sesetengah individu mungkin dialami kesan jangka panjang atau kekal.
Berdasarkan pengalaman saya, punca utama KOT ialah tidak memakai tali pinggang keledar dan menunggang motosikal tanpa topi keledar. Kemalangan yang berlaku pada kelajuan 20 kilometer (km) sejam ke atas motosikal atau kereta yang tidak menggunakan tali pinggang keledar juga boleh mengakibatkan kecederaan yang teruk. Ia tidak hanya mengenai kelajuan, tetapi tentang perlindungan yang tidak mencukupi.
Walaupun kemalangan jalan raya tidak dapat dielakkan sepenuhnya, langkah-langkah pencegahan seperti memakai topi keledar dan peralatan perlindungan, menggunakan tali pinggang keledar, memastikan persekitaran yang selamat, serta mengelakkan tingkah laku berisiko seperti memandu dengan cuai dan melanggar lampu isyarat perlu dilakukan.
Perbuatan ini mampu mengurangkan risiko kecederaan kepala dan mengakibatkan perbezaan yang signifikan.
Selain itu, dapatkan bantuan dengan segera jika anda mengesyaki mengalami kecederaan kepala. Semakin lama isu ini dibiarkan, semakin besar impaknya kepada masyarakat.-UTUSAN
DR. JOHAN QUAH BOON LEONG
Perunding Pakar Bedah Saraf,
Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway










