UNTUK mengatasi masalah kekurangan pakar atau pegawai perubatan dalam institusi perubatan awam, perlunya meningkatkan kualiti perkhidmatan dan peralatan hospital serta menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif.
Antara sebab utama pegawai perubatan Gred UD56 atau lebih tinggi meletak jawatan adalah kerana ditugaskan di lokasi yang jauh dari kampung halaman. Selain itu, terdapat punca lain termasuk isu kenaikan pangkat, kekurangan sokongan peralatan, serta cabaran seperti sumber yang terhad, kekurangan peralatan dan fasiliti lama tidak mengikut arus teknologi perubatan semasa.
Contohnya, Hospital Pulau Pinang mempunyai sekitar 1,000 katil tetapi hanya memiliki satu mesin pengimejan resonans magnetik (MRI). Hospital dengan 1,000 katil sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya dua mesin MRI.
Ini menunjukkan kekurangan peralatan memang menjadi sebahagian daripada masalah. Untuk mengurangkan tekanan kerja kakitangan perubatan dan meningkatkan kecekapan, kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk melaksanakan sistem perubatan digital.
Namun, yang paling mengejutkan adalah kebanyakan doktor di hospital kerajaan masih menggunakan komputer sistem Windows XP untuk menyokong kerja harian.
Prosedur birokrasi dalam pentadbiran kerajaan menyebabkan kekurangan fasiliti perubatan tidak dapat diselesaikan dengan segera.
Punca lain yang menyebabkan doktor berhenti kerja termasuk ditawarkan gaji yang tinggi oleh pihak lain, tamat tempoh perkhidmatan wajib di hospital kerajaan, atau selepas berjaya mendaftar sebagai pakar dengan Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) dan memilih untuk bekerja di sektor swasta.
Sesiapa sahaja sukar untuk terus bekerja dalam persekitaran kerja dan tekanan yang buruk. Situasi ini boleh berlaku dalam mana-mana industri, tetapi bagi doktor dan jururawat yang berpengalaman, mereka mempunyai pilihan untuk menyertai sektor yang menyediakan persekitaran kerja lebih baik, peralatan yang mencukupi dan gaji lebih tinggi.-UTUSAN
DATUK DR. DOMINIC LAU
Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan)










