Umum mengetahui Malaysia dijangka mencapai status negara tua pada 2030.
Bila ramai orang tua, antara masalah yang dihadapi adalah kemerosotan ingatan. Jadi dalam persediaan Malaysia ke arah mencapai status negara tua, antara inisiatif yang dicetuskan ialah alat terapi kognitif yang sangat signifikan.
Perisian teknologi itu dibangunkan melalui kajian dan penyelidikan untuk menangani masalah kemerosotan ingatan dengan mengetengahkan konsep yang mengintegrasikan permainan digital, maklum balas saraf dan intervensi psikoterapi.
Pensyarah kanan Pusat Pengajian Pengkomputeran Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Noraziah Che Pah berkata, permainan digital, terapi neuro direka bentuk sebagai model intervensi psikoterapi berasaskan inovasi permainan digital. Ia dibangunkan dan diuji untuk meningkatkan keupayaan ingatan warga emas.
Permainan ini juga direka dengan bentuk khas mengikut keperluan serta spesifikasi khusus yang bersesuaian dengan kemampuan golongan tua selain keupayaan untuk simulasi mengembalikan ingatan dan menguatkan keupayaan otak.
Semasa bermain, aktiviti yang berlaku di sel neuron otak direkodkan. Ia menunjukkan sel otak aktif semasa golongan tua bermain permainan ini. ‘Puzzle’ berfungsi sebagai alat terapi kognitif untuk kuatkan ingatan kerana proses berlaku berulang-ulang kali. Signal yang terhasil daripada aktiviti ini akan dihantar terus ke otak.
Testimoni yang dijalankan menunjukkan impak positif kepada individu yang mengalami kemerosotan ingatan antaranya penambahbaikan proses mengingat kembali ingatan serta kemahiran dan literasi teknologi maklumat dalam kalangan warga emas.
Selain itu, ia juga sebagai usaha merapatkan jurang digital dalam kalangan warga emas.-UTUSAN
SITI FATIMAH ABDULLAH
Universiti Utara Malaysia (UUM)









