SEJARAH merupakan cabang ilmu yang hidup dan signifikan sebagai pemangkin memugar nasionalisme, patriotisme, jati diri dan mempersiapkan generasi menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Kini, kebanyakan ilmu sejarah berada dalam keadaan yang terpisah dan menyebabkan berlakunya proses pembelajaran secara terasing.
Sejarah Gunaan adalah bidang baharu kompetitif dan berkembang pesat di Eropah serta Australia sejak 1980-an. Benjamin F. Shambaugh sebagai pelopor menyatakan Sejarah Gunaan ialah usaha menggabungkan disiplin sejarah dengan cabang ilmu yang lain.
Ini memerlukan kurikulum kursus sejarah di institusi pengajian tinggi (IPT) dibuat penambahbaikan ke arah yang bersifat integratif dan interaktif. Kandungan kursus perlu bersifat kontemporari dan bersesuaian dengan keperluan pembangunan negara.
Sejarah Gunaan dikenali sebagai Sejarah Awam di Eropah dengan menggabung dan menyepadukan beberapa cabang ilmu seperti pengurusan arkib, muzium serta pemuliharaan. Nilai tambah meliputi teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) turut diterapkan. Kini, universiti awam mula mengorak langkah bagi memperkenalkan bidang baharu ini sebagai transformasi disiplin.
Medium penyampaian perlu dinamik, ringan dan menghiburkan. Digitalisasi sejarah perlu berfokuskan kepentingan khalayak namun kesarjanaan dan keintelektualan akademia perlu terpelihara kerana karya yang dipersembahkan akan mempengaruhi masyarakat.
Implementasi pelbagai jenis aktiviti pasti akan menjadi daya penarik. Tambahan pula apabila program pengajian yang ditawarkan berupaya memenuhi keperluan industri. Justeru itu, budaya cakna dan bersaing dengan negara-negara maju di dunia seperti Jepun, Korea Selatan, China serta Singapura yang memartabatkan pendidikan sejarah secara lebih progresif dapat dibina.
Modal insan yang bakal dilahirkan perlu kompeten dalam menguasai fakta dan aplikasi. Kepakaran yang dimiliki akan menjadi produk yang boleh dipasarkan. Ini akan menjadi penyelesaian kepada kelompongan ‘penceritaan’ di institusi seperti permuziuman yang menjadikan industri tersebut semakin lesu. Bakal graduan diharapkan menjadi sebahagian daripada kekuatan institusi pelancongan, warisan, arkib dan permuziuman di Malaysia.
Dalam memperkasakan bidang tersebut, pendidik perlu menghadam kekuatan ilmu baharu dan menjadi pemudah cara. Matlamat program perlu difahami kerana persoalan tersebut akan menjadi panduan bagi membentuk kursus berorientasikan kepada pemindahan latihan.
Garis asas pembinaan sejarah Malaysia perlu dilakukan secara kolektif tanpa wujud percanggahan. Ilmu sejarah perlu dijadikan sebagai teras penyatuan bangsa Malaysia.-UTUSAN
PROFESOR MADYA
DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia, (UUM)










