SEBAGAI seorang pelajar Malaysia yang baru pulang dari Australia, saya terpaksa berhadapan dengan masalah yang sering berlaku di negara ini, iaitu gangguan bekalan air akibat paip pecah di kawasan perumahan.
Keterjaminan air melibatkan tindakan untuk memastikan bekalan air yang mencukupi, selamat dan mampan dalam memenuhi keperluan kehidupan, kesejahteraan manusia serta pembangunan ekonomi sambil mengekalkan ekosistem. Di Australia, walaupun mempunyai iklim yang kering, pemuliharaan air menjadi budaya kehidupan. Dengan penggunaan sistem penuaian air hujan, peraturan ketat dan kempen kesedaran yang meluas, rakyat Australia melihat air sebagai komoditi yang sangat berharga.
Sebaliknya, keterjaminan air di Malaysia menghadapi cabaran besar. Dari pembacaan saya, masalah pertama adalah infrastruktur usang dan isu penyelenggaraan, yang sering menjadi punca paip pecah. Ini menyebabkan kehilangan air dengan jumlah besar sebelum sampai kepada pengguna.
Kedua adalah pencemaran industri yang terus mengancam sungai dan kawasan tadahan air. Kes seperti Sungai Kim Kim di Johor (2019) dan Sungai Gong di Rawang (2020), mengganggu bekalan air kepada lebih sejuta penduduk, menunjukkan betapa seriusnya isu ini. Begitu juga, pencemaran bau dari sisa industri ke dalam Sungai Selangor (2019) mengakibatkan kekurangan bekalan air yang meluas.
Walaupun pelaku ditangkap, hukuman yang dikenakan hanyalah denda yang mudah ditanggung sebagai kos operasi. Kekurangan hukuman tegas membolehkan pesalah mengulangi perbuatan mereka tanpa rasa takut.
Ketiga dan yang paling mengecewakan ialah sikap santai terhadap pembaziran air. Sama ada membiarkan paip mengalir tanpa henti, menyiram tanaman secara berlebihan atau mencuci kereta menggunakan hos, tabiat ini mencerminkan masalah budaya yang lebih besar, iaitu tanggapan bahawa air adalah sumber tanpa had, hanya kerana Malaysia mengalami hujan lebat sepanjang tahun.
Sebagai bandingan di Australia, saya melihat bagaimana komuniti bekerjasama untuk memulihara air. Penggunaan tangki air hujan, sistem air kelabu dan pematuhan ketat terhadap langkah penjimatan air adalah perkara biasa. Sikap ini lahir daripada pemahaman kolektif air adalah sumber yang sangat berharga. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengamalkan pemikiran yang serupa.
Baru-baru ini, saya terbaca tentang kempen Bijak Air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), yang bertujuan mendidik masyarakat tentang keterjaminan air dan pemuliharaannya. Inisiatif ini amat penting, yang berlandaskan prinsip kelestarian, pemeliharaan, advokasi dan memupukkan kesedaran dalam kalangan generasi muda. Ini adalah langkah penting untuk merapatkan jurang kesedaran di Malaysia.
Melalui kempen ini, SPAN bukan sahaja meningkatkan kesedaran tetapi juga memupuk budaya pemuliharaan. Dengan menangani isu seperti pencemaran, infrastruktur dan sikap masyarakat, kempen ini berpotensi untuk menginspirasi perubahan yang berkekalan. Namun, pendidikan awam sahaja tidak mencukupi. Kerajaan harus melengkapkan usaha ini dengan peraturan yang lebih ketat, penguatkuasaan yang lebih baik terhadap pencemar dan pelaburan dalam menaik taraf infrastruktur air.-UTUSAN
Sementara rakyat perlu tahu setiap titisan air itu penting dan setiap tindakan memberi kesan.
DANIEL DELANEY
Kuala Lumpur









