USAHA memajukan sektor pertanian melalui kaedah plot percubaan melangkaui zaman. Pada tahun-tahun lewat 60-an, Kolej Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) yang waktu itu sedang giat menambah pengambilan pelajar daripada 200 hingga 500 orang menjalankan plot percubaan bagi aneka jenis tanaman termasuk jagung dan sorghum.
Jabatan Pertanian sejak sebelum merdeka lagi telah melaksanakan kaedah sama di stesen-stesennya di seluruh negara bagi tanaman sedia ada atau memperkenalkan tanaman baharu bertujuan untuk mengembangkan ilmu pertanian dalam kalangan penduduk luar bandar.
Pembabitan kerajaan dalam usaha ini diteruskan dengan rancangan untuk melaksanakan projek tanaman bawang di Perak dan padi di Sarawak seperti terdapat dalam Belanjawan 2025.
Projek-projek tersebut diperlihatkan sebagai tidak lebih dari plot percubaan sahaja, tidak boleh diharapkan sangat untuk menambah hasil pengeluaran tanaman berkaitan atau mengurangkan import kerana kos menyedia dan menyelenggara tinggi.
Meskipun segala usaha dibuat, namun sektor pertanian terus malap mengakibatkan negara terpaksa mengimport makanan bernilai lebih RM85 bilion setahun.
Persoalan timbul mengapa negara-negara ASEAN seperti Thailand dan Indonesia dapat mengekalkan pengeluaran pertanian tanpa banyak bergantung import malah dapat menjadi pengeksport bersih bagi sesetengah produk pertanian.
Jika diperhatikan dasar kerajaan, tidak menyediakan pembangunan secara menyeluruh dengan menumpukan hanya di pusat-pusat bandar dapat mengekalkan persekitaran kondusif untuk penghasilan pertanian.
Malaysia sejak dahulu lagi mengamalkan dasar pembangunan menyeluruh dengan setiap ceruk dan rantau disediakan perhubungan, jalan, air bersih, bekalan elektrik tiga fasa, internet dan 5G. Pada masa sama harga tanah pertanian melambung naik akibat daripada spekulasi yang tidak terkawal.
Dasar pembangunan menyeluruh sudah semestinya disambut baik oleh rakyat terutamanya di luar bandar tetapi kita tidak mempunyai dasar atau mekanisme untuk mengekalkan harga tanah pertanian di tahap yang ekonomik untuk mengeluarkan hasil.
Malaysia sudah lama mengidam untuk menjadi negara maju tetapi kita harus sedar kebanyakan negara maju mempunyai sektor pertanian yang maju dan tidak banyak mengimport makanan sebaliknya menjadi mengeksport.
Jepun merupakan antara negara perindustrian terulung dunia dan ia tidak banyak mengimport makanan. Kita perlu kaji bagaimana Jepun melalui proses pembangunan perindustrian pesat pada masa sama dapat mengekalkan pengeluaran padi, buah-buahan dan sayuran tanpa bergantung import.-UTUSAN
MOHAMED YUSOFF YAHYA
Batu Gajah, Perak










