ZON Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan inisiatif strategik bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi antara Johor dan Singapura.
Bagi Johor dan Malaysia, JS-SEZ menawarkan pelbagai manfaat. Pertama, dijangka menarik pelaburan asing melalui insentif seperti pengecualian cukai, proses peraturan dipermudah dan peningkatan infrastruktur serta mewujudkan persekitaran pelaburan yang menarik.
Kedua, akan meningkatkan akses pasaran dan integrasi global, memudahkan syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa melalui logistik yang lebih baik dan kemudahan perdagangan.
Ketiga, dijangka mewujudkan sehingga 400,000 pekerjaan berpendapatan tinggi, meningkatkan pendapatan isi rumah di Johor dan menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan 7 peratus.
Walaupun terdapat manfaat jelas, terdapat risiko jangka panjang yang perlu dipertimbangkan, terutamanya bagi masyarakat Melayu dan bumiputera. Salah satu kebimbangan utama adalah kemungkinan peningkatan kos sara hidup dan harga hartanah di Johor akibat permintaan tinggi dari pelabur asing dan pekerja mahir.
Selain itu, peningkatan aliran masuk pekerja asing dan bakat antarabangsa mungkin menyebabkan persaingan yang lebih sengit dalam pasaran pekerjaan tempatan. Oleh itu, penting bagi kerajaan untuk memastikan program latihan dan pembangunan kemahiran yang mencukupi disediakan untuk meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan.
Kebimbangan lain adalah kemungkinan berlakunya ketidakseimbangan dalam pembangunan ekonomi dengan jangkaan Johor Bahru mungkin menerima lebih banyak manfaat berbanding kawasan luar bandar.
Penting untuk memastikan pembangunan ekonomi tidak mengorbankan warisan budaya dan identiti masyarakat Melayu dan bumiputera. Langkah-langkah perlu diambil untuk mempromosikan dan melindungi budaya tempatan dalam menghadapi globalisasi yang semakin pesat.
Untuk mengurangkan risiko-risiko ini, kerajaan perlu melaksanakan dasar yang memastikan penyertaan aktif masyarakat tempatan termasuk menyediakan peluang pendidikan dan latihan yang relevan, akses kepada peluang perniagaan dan melindungi kepentingan penduduk tempatan dalam pasaran hartanah. Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil adalah penting untuk mencapai matlamat ini.-UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam










