Jiwa pembuli bermula sejak kecil

Jiwa pembuli bermula sejak kecil

PEMBULI yang mempunyai jiwa ganas sejak kecil boleh ditangani dengan pendekatan yang menyeluruh. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBULI sering kali dikaitkan dengan sifat ganas dan tingkah laku yang merosakkan sejak kecil. Mereka cenderung untuk menunjukkan sikap agresif seperti memukul haiwan, merosakkan harta benda di rumah dan melawan cakap ibu bapa.

Malangnya, tindakan-tindakan ini sering diabaikan ibu bapa, malah ada yang memberikan pujian secara tidak langsung dengan menganggapnya sebagai keberanian atau keaktifan. Keadaan ini bukan sahaja merugikan anak tersebut, tetapi juga memberi kesan buruk kepada masyarakat secara keseluruhan.

Di institusi pengajian tinggi (IPT), sifat pembuli ini mungkin berubah bentuk tetapi tetap membawa kerosakan. Pembuli mungkin menggunakan kuasa atau kedudukan untuk menindas orang lain, seperti memanipulasi rakan sebilik, membuli secara siber atau menunjukkan dominasi dalam kumpulan. Akibatnya, budaya buli ini terus subur dalam masyarakat, menjadikan suasana tidak harmoni dan menjejaskan hubungan sosial.

Masalah pembuli yang bermula sejak kecil ini perlu ditangani dengan serius. Salah satu langkah awal ialah melalui pendidikan. Ibu bapa perlu dididik tentang pentingnya memantau dan membentuk tingkah laku anak-anak sejak awal. Ibu bapa perlu memberi teguran yang konstruktif dan menerapkan nilai-nilai empati serta hormat kepada orang lain.

Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan penting dalam menangani masalah ini. Guru-guru perlu dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda awal pembuli dan mengambil tindakan proaktif. Program pendidikan moral dan disiplin perlu diperkuatkan, dengan menekankan nilai-nilai seperti kerjasama, toleransi serta kasih sayang. Aktiviti-aktiviti seperti kerja sukarela atau projek komuniti boleh membantu pelajar memahami kepentingan membantu dan menghormati orang lain.

Pihak berkuasa juga perlu melaksanakan undang-undang yang tegas terhadap kes buli. Walaupun hukuman bukanlah penyelesaian utama, ia boleh menjadi langkah pencegahan yang berkesan. Pembuli yang terbukti melakukan kesalahan perlu diberi kaunseling dan pemulihan untuk memastikan mereka menyedari kesilapan selain berubah ke arah yang lebih baik. Pada masa sama, mangsa buli perlu diberikan sokongan emosi dan kaunseling untuk mengatasi trauma yang dialami.

Kesedaran masyarakat juga perlu ditingkatkan. Kempen antibuli melalui media massa dan media sosial boleh membantu menyebarkan mesej tentang bahaya buli dan cara mengatasinya. Masyarakat perlu bekerjasama untuk membentuk persekitaran yang selamat dan harmoni, yang mana setiap individu merasa dihargai dan dilindungi.

Sementara bagi setiap individu perlu memastikan pembentukan sahsiah dan nilai murni perlu diberi keutamaan. Anak-anak perlu diajar tentang pentingnya menghormati makhluk lain, sama ada manusia atau haiwan. Pendidikan agama serta moral yang kukuh boleh menjadi asas untuk membentuk individu yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab.

Secara keseluruhannya, masalah pembuli yang mempunyai jiwa ganas sejak kecil adalah satu isu yang kompleks tetapi boleh ditangani dengan pendekatan yang menyeluruh.

Ibu bapa, sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat perlu berganding bahu untuk membentuk generasi yang lebih baik. Dengan usaha bersama, kita mampu mewujudkan persekitaran yang harmoni dan bebas daripada budaya buli, demi kesejahteraan semua pihak.-UTUSAN

CHE RAHMAH AHMAD
Taman Bintang, Parit Sulong,
Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN