Jangan takut cuba bar halal

Jangan takut cuba bar halal

PEMATUHAN yang ketat terhadap prinsip-prinsip halal dan usaha berterusan dalam mendidik masyarakat boleh mengubah persepsi awam terhadap bar halal. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era globalisasi, industri makanan dan minuman berkembang pesat dengan pelbagai konsep perniagaan yang unik dan menarik. Salah satu konsep yang semakin mendapat tempat dalam ialah perkhidmatan makanan berkonsepkan bar.

Namun, di Malaysia, konsep ini sering kali disalah tafsir oleh sesetengah pihak yang mengaitkannya dengan ketidakpatuhan garis panduan halal.

Perkhidmatan makanan berkonsepkan bar biasanya dikaitkan dengan penyediaan minuman beralkohol, namun, terdapat bar yang beroperasi dengan mematuhi standard halal yang ketat. Ia menawarkan suasana santai dan moden tanpa mengkompromikan aspek halal dalam setiap penyediaan makanan dan minuman.

Untuk memastikan status halal, bar perlu mendapatkan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Proses ini melibatkan pemeriksaan teliti terhadap sumber bahan mentah, cara penyimpanan, penyediaan dan penyajian makanan serta minuman.
Selain itu, perlu memastikan tiada bahan haram digunakan dan semua pekerja memahami serta mematuhi prinsip-prinsip halal.

Salah satu cabaran utama dalam mengubah persepsi awam ialah memperkenalkan pelbagai pilihan menu yang menarik dan memenuhi citarasa pelanggan. Bar halal mampu menyajikan pelbagai jenis makanan seperti burger, pasta dan hidangan tempatan yang disediakan dengan bahan-bahan sah serta bersih. Minuman pula boleh terdiri daripada jus segar, mocktail dan pelbagai jenis minuman yang menyegarkan tanpa alkohol.

Mengubah persepsi awam memerlukan usaha berterusan dalam mendidik masyarakat tentang kewujudan dan keunikan bar halal. Program-program pendidikan, kempen kesedaran dan kolaborasi dengan media tempatan boleh membantu menyebarkan maklumat yang tepat.

Dengan pemahaman yang betul, masyarakat dapat menerima dan menyokong perkhidmatan makanan berkonsepkan bar yang mematuhi syariat Islam. Ini kerana perkhidmatan ini bukan sahaja memberi alternatif kepada umat Islam, tetapi juga mencerminkan inovasi dan adaptasi dalam industri makanan.

Dengan pematuhan yang ketat kepada prinsip-prinsip halal dan usaha berterusan dalam mendidik masyarakat, persepsi awam terhadap bar halal dapat diubah. Ini bukan sahaja membantu dalam perkembangan industri makanan, tetapi juga dalam memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat yang pelbagai.

Oleh itu, perbezaan yang jelas antara bar di hotel konvensional dan hotel syariah harus diterangkan dengan jelas kepada pengguna agar mereka dapat membuat pilihan yang paling sesuai dengan nilai-nilai Islam. Ini bukan sekadar tentang pematuhan, tetapi tentang menawarkan pengalaman gastronomi yang terbaik dan paling selaras dengan kepercayaan kita.-UTUSAN

DR. MOHD. ZULFAKAR MOHD. NAWI dan DR. NURUL ASHIKIN ISMAIL
Pensyarah Kanan (Fakulti Pendidikan Teknikal & Vokasional) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN