TAHUN 2024 sudah melabuhkan tirai. Begitulah pantasnya putaran masa berlalu pergi. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi daripada Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.”
Sebahagian ulama berpandangan maksud masa berlalu dengan pantas adalah disebabkan hilang keberkatan masa. Dalam sehari dia melakukan sesuatu yang bermanfaat, kadarnya sama seperti satu jam sahaja dia melakukan perkara tersebut.
Oleh yang demikian, masyarakat perlu memastikan setiap detik masa dipenuhi dengan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT serta perkara yang mendatangkan faedah dan kebaikan buat diri, keluarga dan ummah.
Pelbagai peristiwa telah berlaku di negara kita sepanjang tahun lalu. Adakalanya peristiwa tersebut berlaku atas ketentuan tuhan yang manusia tidak mampu hindari seperti banjir besar yang telah melanda negeri-negeri tertentu. Sudah tentu ujian ini mengandungi hikmah dan pengajaran untuk menguji tahap keimanan dan kesabaran insan. Takdir tuhan mengatasi segalanya.
Selain itu, turut berlaku perkara yang memberi kesan betapa sensitivitinya umat Islam dalam membela agama seperti penghinaan kalimah Allah yang dicetak pada stokin di sebuah pasar raya. Hal ini memberi isyarat bahawa masyarakat Islam masih mempunyai rasa sensitif yang tinggi jika kesucian agama Islam telah dinodai.
Secara tidak langsung, kesatuan ummah boleh diukur apabila umat Islam bangkit mempertahankan kesucian agama ketika isu ini berlaku.
Manakala, di peringkat antarabangsa pula, isu berkaitan umat Islam Palestin yang masih diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh Israel masih lagi berlaku. Penyelesaian yang tuntas diperlukan agar kekejaman ini dapat dihentikan sementara rakyat Palestin boleh menikmati kehidupan aman damai serta Palestin menjadi negara yang bebas dan berdaulat.
Justeru, marilah kita bersama-sama berdoa agar apabila melangkah ke tahun baharu, Allah SWT mengurniakan rahmat, rezeki dan kesihatan diri. Negara kita pula akan sentiasa aman, makmur dan terus maju serta unggul di persada antarabangsa.
Mulakan tahun baharu ini dengan semangat baharu bagi memperbaiki segala perkara dan amalan untuk memperoleh al-falah ataupun kejayaan di dunia dan di akhirat.-UTUSAN
DR. ROZAINI OTHMAN dan ZAITON DIN
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Pulau Pinang
Kampus Permatang Pauh










