ISU guru bukan opsyen yang mengajar subjek di luar bidang kepakaran sering dibangkitkan, terutama dalam aspek penulisan karangan. Masalah ini menjadi ketara apabila guru yang tidak memiliki latar belakang dalam bidang bahasa dan kepengarangan cuba mengajar penulisan.
Akibatnya, pelajar terdedah kepada kelemahan dalam memahami konsep asas karangan seperti struktur, isi kandungan dan gaya bahasa. Isu ini wajar diberi perhatian agar kualiti pendidikan tidak terjejas.
Masalah utama yang dihadapi guru adalah kekurangan pengetahuan asas tentang kepengarangan dan kebahasaan. Contoh, apabila soalan meminta pelajar menghuraikan faktor tertentu, huraian yang diberikan guru tidak relevan dan tidak berasaskan fakta. Ini menunjukkan guru tidak memahami keperluan soalan dan tidak mampu memberikan panduan yang jelas kepada pelajar.
Tambahan pula, gaya bahasa yang digunakan tidak sesuai, malah 99 peratus daripadanya mengandungi kesalahan tatabahasa. Hal ini boleh mencetuskan salah faham dalam memahami standard penulisan yang sebenar.
Kelemahan ini memberi impak besar kepada pelajar. Pelajar yang diajar cenderung menghasilkan karangan yang lemah dari segi isi dan struktur. Kesannya, mereka menghadapi kesukaran untuk mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan.
Untuk mengatasi isu ini, latihan dan kursus yang menumpukan asas penulisan, termasuk struktur karangan, pemilihan isi yang relevan dan penggunaan bahasa yang betul perlu diberikan. Guru juga perlu diajar bagaimana mentafsir kehendak soalan dan membimbing pelajar secara berkesan. Dengan pendedahan kepada latihan yang betul, guru dapat meningkatkan kemahiran mereka dan seterusnya menyampaikan pengajaran yang berkualiti.
Selain itu, pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan perlu memantau kualiti pengajaran. Sekiranya terdapat kekurangan, sokongan tambahan seperti program mentor atau kerjasama dengan guru opsyen boleh diberikan. Pendekatan ini dapat memastikan bahawa pelajar tidak ketinggalan walaupun diajar oleh guru bukan opsyen.-UTUSAN
AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Dato’ Sulaiman, Parit Sulong, Johor










