Bayaran hutang PTPTN adalah tanggungjawab, bukan pilihan

Bayaran hutang PTPTN adalah tanggungjawab, bukan pilihan

BAYARAN balik pinjaman adalah tanggungjawab dan amanah untuk memastikan pendidikan tinggi terus menjadi harapan dan jalan keluar bagi mereka yang memerlukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya kecewa apabila membaca artikel mengenai segelintir peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang merasakan diri mereka begitu ‘istimewa’ sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman.

Tambah menyakitkan hati apabila terdapat individu yang sengaja mempolitikkan isu ini dengan menuduh PTPTN sebagai tidak prihatin dan mengugut peminjam kerana menghantar notis.

Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mencerminkan sikap pentingkan diri tanpa memikirkan kesan kepada sistem pendidikan tinggi negara.

Saya berasal dari keluarga berpendapatan sederhana rendah. Ibu saya seorang suri rumah, manakala ayah hampir bersara ketika saya melanjutkan pelajaran. Saya bersyukur kerana pinjaman yang diberi, membuka peluang untuk menjejakkan kaki ke institut pendidikan tinggi (IPT).

Setelah tamat pengajian, saya mula bekerja dengan gaji RM1,900 sebulan. Ketika itu, saya menyewa bilik kecil bersama rakan dengan kos RM450 sebulan dan baki pendapatan digunakan untuk perbelanjaan harian seperti makanan dan pengangkutan.

Walaupun pendapatan saya tidak mencukupi, saya memegang dua prinsip penting dalam hidup iaitu simpan sedikit wang untuk ibu bapa dan melunaskan hutang. Prinsip ini mendidik saya untuk menjadi individu yang berdisiplin dari segi kewangan dan moral.

Kini, selepas dua tahun bekerja dan mendapat sedikit kenaikan gaji, keadaan kewangan saya lebih baik. Saya juga berbincang dengan PTPTN untuk meningkatkan jumlah bayaran balik supaya hutang dapat diselesaikan lebih awal.

PTPTN membantu ribuan individu, termasuk saya sendiri, untuk mengubah kehidupan melalui pendidikan tinggi.

Kepada peminjam yang masih tidak melaksanakan tanggungjawab, saya menyeru anda untuk berfikir secara rasional. Jangan anggap diri terlalu ‘istimewa’ sehingga boleh mengabaikan tanggungjawab. Bayaran balik pinjaman bakal memberi peluang untuk pelajar lain menikmati peluang pelajaran tinggi dan mengubah nasib diri dan keluarga.

Institusi ini wujud untuk memastikan pendidikan kekal inklusif dan mampan, memberi peluang kepada generasi akan datang untuk merubah kehidupan mereka, seperti mana kita pernah diberi peluang. Namun, sikap negatif segelintir peminjam dan pihak tidak bertanggungjawab mencipta persepsi buruk terhadap peminjam yang jujur.

Bayaran balik pinjaman adalah tanggungjawab dan amanah untuk memastikan pendidikan tinggi terus menjadi harapan serta jalan keluar bagi mereka yang memerlukan. Jangan biarkan sikap kita hari ini merampas masa depan generasi akan datang.-UTUSAN

SHAHRUL ABDUL RAHIM
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN