Pendidikan tinggi bukan sekadar peluang untuk memperbaiki taraf hidup individu tetapi juga asas kepada pembangunan negara. Namun, ini hanya boleh dicapai jika peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memainkan peranan dengan membayar semula hutang mereka.
Sebagai peminjam yang kini melangkah ke alam pekerjaan, nilai etika dan integriti mesti menjadi panduan dalam kehidupan profesional dan peribadi. Pelaksanaan tanggungjawab seperti pembayaran balik pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah cerminan keperibadian dan komitmen kepada masyarakat.
Memulakan fasa baharu dalam kehidupan sebagai seorang pekerja mestilah dengan langkah positif, bukan dengan mengabaikan kewajipan.
Peminjam perlu menyedari pentingnya celik kewangan dalam mengurus kehidupan mereka. Belajarlah untuk menyusun bajet, hidup mengikut kemampuan dan mendahulukan keperluan asas serta tanggungjawab kewangan seperti bayaran balik pinjaman PTPTN. Tidak kira berapa banyak gaji anda, pastikan sejumlah kecil disimpan untuk memenuhi tanggungjawab ini dan kepada keluarga, terutamanya ibu bapa, yang telah banyak berkorban.
Saya menyokong sepenuhnya inisiatif PTPTN seperti pelan bayaran balik fleksibel, penstrukturan semula hutang dan kempen LESTARI Pendidikan, yang menyediakan ruang kepada peminjam untuk berbincang, berunding dan mencari penyelesaian mengikut kemampuan.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan PTPTN terhadap kebajikan peminjam sambil menjamin kelestarian dana pendidikan negara.
Namun, kejayaan ini bergantung sepenuhnya kepada tindakan peminjam. Jangan hidup dalam bayang-bayang kebimbangan, sebaliknya ambil langkah pertama untuk berbincang dengan PTPTN dan ubah keadaan anda dengan menyelesaikan tunggakan demi masa depan yang lebih cerah.
Ini bukan sekadar tentang melunaskan hutang, tetapi tentang mengambil langkah menyusun masa depan sendiri. Bayangkan kehidupan tanpa tekanan kewangan yang berlarutan, hidup yang bebas daripada kebimbangan tindakan undang-undang.
Dengan memanfaatkan ruang yang disediakan oleh PTPTN, anda dapat melangkah keluar dari bayang-bayang ini dan membina kehidupan yang lebih stabil dan tenang.
Malah, majikan juga perlu mengambil peranan proaktif melalui sokongan seperti potongan gaji dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR). Dalam masa yang sama, peminjam mesti mengambil inisiatif untuk berunding dengan PTPTN agar bayaran balik dapat disesuaikan dengan kemampuan mereka.-UTUSAN
DATUK MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja
Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)









