PETALING Jaya adalah salah sebuah bandar raya yang paling pesat membangun di negara ini dan merupakan jantung kepada ekonomi negeri Selangor. Pembangunannya cukup memberangsangkan dengan pengurusan sistem perbandaran sistematik di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Namun, segala projek pembangunan dan infrastruktur yang ada rasanya lebih kepada untuk memenuhi keperluan golongan atas atau mereka yang banyak menyumbang dari segi cukai kepada bandar raya ini.
Bagi golongan marhain yang menggunakan pengangkutan yang berjalan antara stesen ke stesen mendapati Petaling Jaya bukan sebuah bandar raya yang mesra pejalan kaki.
Ambil contoh mudah antara stesen transit aliran ringan (LRT) Taman Jaya dan Asia Jaya. Sepatutnya MBPJ boleh menyediakan laluan pejalan kaki yang sempurna bagi menghubungkan kedua-dua stesen ini kerana jaraknya tidak jauh dan melalui kawasan tumpuan ramai seperti hotel lima bintang, bangunan korporat restoran dan sebagainya.
Tetapi malangnya, pejalan kaki terpaksa berkongsi jalan raya dengan kenderaan yang lalu lalang. Ambil contoh kalau berjalan dari stesen Taman Jaya ke PJ Sentral. Lokasi mahu melintas jalan pun tidak ada. Terpaksa langkah pembahagi jalan. Kemudian ada laluan pejalan kaki. Tetapi selepas bangunan JPJ ia hilang, dan pengguna terpaksa berjalan atas jalan raya yang tentunya tidak selamat.
Sebagai sebuah bandar raya tersohor PJ sepatutnya mempunyai kemudahan untuk pejalan kaki yang terbaik di dunia kerana pelancong yang menginap di hotel PJ Hilton dan Sheraton turut guna LRT.
Kemudiannya, dari hotel ini semua untuk ke restoran-restoran berdekatan dan pusat penjaja berhampiran balai polis pun tidak ada kemudahan jalan kaki yang sempurna. Kalau ada pun ia bukan standard Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya disegani.
Sebagai pengguna pengangkutan awam tegar saya berharap MBPJ berusaha meningkatkan kemudahan pejalan kaki dan menjadikan ia bandar raya yang menggalakkan orang berjalan.-UTUSAN
PENGGUNA LRT
Petaling Jaya










