PADA 9 November lalu, negara dikejutkan lagi dengan kejadian seekor Harimau Malaya mati digilis lori di Kilometer (km) 67.1 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa.
Kejadian ini sangat memberi kesan kepada pencinta alam semula jadi khususnya harimau yang menjadi fokus negara dan dunia dalam pemuliharaan hidupan liar terancam. Tambahan lagi kejadian berlaku dalam kawasan yang dilindungi iaitu Kompleks Hutan Simpan Belum-Temengor yang menjadi fokus utama pemuliharaan Harimau Malaya.
Kejadian harimau berlegar di kawasan penempatan penduduk, melintasi jalan raya dan berlaku kes membaham manusia, mewujudkan suasana takut dalam kalangan penduduk tempatan.
Banyak perkara berkaitan ancaman populasi harimau sudah dibincangkan termasuk kekurangan habitat, kawasan merayau semakin kecil, kesan kepelbagaian genetik, umur matang yang lambat (tiga hingga empat tahun bagi betina dan empat hingga lima tahun bagi jantan).
Harimau Malaya memerlukan kawasan rayau yang luas. Harimau betina memerlukan hampir 100 km persegi manakala harimau jantan memerlukan lebih kurang 280 km persegi. Sifatnya sebagai haiwan pemangsa, haiwan teritorial memerlukan kawasan yang luas untuk kawasan rayau.
Menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN), Harimau Malaya (Panthera tigris jaksoni) adalah spesies yang amat terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. Harimau Malaya pernah dianggarkan sebanyak 500 ekor pada 2015 dan diletakkan dalam kategori hidupan liar yang menghadapi kepupusan di habitat liar.
Populasi harimau dilaporkan terus menurun kepada 250 ekor dan sekarang dianggarkan sebanyak 150 ekor sahaja di habitat liar. Tiada satu tempat di semenanjung Tanah Melayu dilaporkan mempunyai lebih daripada 50 ekor Harimau Malaya yang matang.
Program pemulihan populasi harimau sangat mendesak dan perlu melibatkan pakar dan teknologi terkini. Pemulihan habitat, perlindungan dan semua tindakan dalam perancangan Plan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan mesti disegerakan. Jawatankuasa berkenaan mesti lebih kerap berjumpa dan melaporkan kepada pihak tertinggi kerajaan.
Kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar yang dilindungi oleh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 masih kerap berlaku. Kematian haiwan liar di jalan raya seperti tapir, kera babi hutan, harimau dahan dan kucing batu banyak berlaku terutamanya laluan yang merentasi hutan simpan.
Bagi mengurangkan kadar kemalangan, pihak kerajaan telah mengadakan laluan khas bagi hidupan liar melintas jalan. Ini adalah satu langkah praktikal pemuliharaan habitat bagi hidupan liar melintas jalan untuk mendapatkan makanan dan bersosial dalam habitat yang terpisah oleh pembangunan jalan raya.
Langkah kerajaan mewujudkan koridor ekologi juga sangat penting dalam habitat dan haiwan yang dilindungi. Memandangkan keadaan habitat dan pergerakan hidupan liar berubah-ubah terutama yang bermusim, maka kajian berterusan tentang keberkesanan laluan perlu sentiasa diadakan dengan menggunakan teknologi moden dan memerlukan peruntukan kewangan yang banyak untuk kerja-kerja yang sukar ini.
Akibat daripada aktiviti penebangan hutan untuk pertanian dan pembangunan, habitat harimau terus terancam. Penebangan hutan menyebabkan bertambah hutan-hutan terpencil and pulau-pulau hutan. Pemencilan hutan ini boleh mengganggu pergerakan harimau dan mangsa mereka serta juga mempengaruhi keupayaan penyebaran dan aliran gen harimau.
Kepelbagaian genetik sangat penting dalam penyesuaian haiwan untuk terus hidup dan menjamin populasi agar tidak pupus.
Penurunan populasi secara mendadak boleh memberikan kesan kepada kepelbagaian genetik yang akan memberikan kesan terhadap populasi harimau.-UTUSAN
DR. AHMAD ISMAIL
Presiden Kongres Persatuan
Akademik Malaysia (MAAC)










