SEBAGAI Ahli Parlimen Batu Gajah, saya ingin memberikan penjelasan tentang peruntukan RM50 juta setahun bagi Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), yang diluluskan oleh kerajaan pada tahun lalu. Inisiatif ini adalah satu langkah penting yang tidak pernah wujud sebelum ini, mencerminkan kesungguhan Kerajaan Madani dalam memperjuangkan keperluan semua rakyat tanpa mengira agama.
Untuk makluman, saya secara peribadi terlibat dalam perbincangan dengan pihak Kementerian Kewangan semasa proses penyediaan Belanjawan 2023. Dalam perbincangan tersebut, saya juga turut mencadangkan agar peruntukan RM50 juta setahun dipertimbangkan untuk membantu RIBI di seluruh negara. Peruntukan ini merupakan langkah murni kerajaan untuk membantu rumah ibadat yang memerlukan, sekali gus menyokong usaha keharmonian antara agama di negara kita.
Namun, saya merasa sedih apabila terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu ini demi kepentingan peribadi mereka. Ibarat api dalam sekam. Sepatutnya, kita semua menghargai usaha kerajaan ini sebagai satu langkah positif dalam membantu komuniti yang memerlukan, bukannya dijadikan sebagai alat untuk menyerang rakan sendiri.
Setakat Oktober lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan bantuan penyelenggaraan sebanyak RM46.1 juta kepada 422 rumah ibadat bukan Islam, termasuk kuil, gereja, gurdwara dan tokong. Jumlah ini mencerminkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk memastikan rumah ibadat ini dapat menjalankan aktiviti keagamaan dengan lebih selesa dan berfungsi dengan baik.
Namun, harus diingat peruntukan ini perlu diagihkan dengan adil kepada rumah ibadat yang benar-benar memerlukan bantuan. Keutamaan juga diberikan kepada rumah ibadat yang belum pernah menerima bantuan tetapi sangat memerlukannya. Proses ini dilakukan dengan teliti, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang adil dan saksama, bagi memastikan setiap dana digunakan dengan berkesan tanpa sebarang pembaziran.
Kerajaan Madani juga meluluskan peruntukan tambahan RM50 juta melalui Belanjawan 2025 untuk meneruskan inisiatif ini. KPKT menyasarkan 200 rumah ibadat akan menerima sumbangan dengan jumlah maksimum RM250,000, bergantung kepada keperluan.
Saya menyeru agar semua pihak memahami tujuan sebenar inisiatif ini. Bantuan ini bukanlah keistimewaan, tetapi satu keperluan bagi rumah ibadat yang memerlukan sokongan untuk menjalankan aktiviti mereka. Marilah kita menyokong usaha ini dengan semangat perpaduan demi memastikan keharmonian antara rakyat Malaysia terus terpelihara.-
V. SIVAKUMAR
Ahli Parlimen Batu Gajah










