Pastikan tiada calon SPM terjejas akibat banjir

Pastikan tiada calon SPM terjejas akibat banjir

BENCANA banjir tidak sepatutnya menjejaskan keseluruhan sistem peperiksaan SPM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA lihat banyak pihak menyuarakan rasa tidak setuju SPM diteruskan meskipun dalam bencana banjir. Namun kami ambil perhatian juga kepada keadaan bencana ini yang berlaku hampir setiap tahun. Sewajarnya mangsa-mangsa banjir sudah tahu risiko dan sudah berpengalaman menghadapi banjir ini sekian lama.

Bencana banjir ini juga tidak sepatutnya menjejaskan keseluruhan sistem peperiksaan SPM yang akhirnya akan memberi domino effect kepada keseluruhan sistem pengajian tinggi seperti kemasukan ke institusi pengajian tinggi, persediaan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, serta jadual-jadual pengambilan pelajar di semua peringkat pengajian tinggi.

Namun begitu, perlu KPM ambil serius bahawa sistem peperiksaan ini ialah untuk menilai kemampuan pelajar bagi menentukan hala tuju pengajian tinggi, seterusnya ke alam pekerjaan. Sistem penilaian ini sepatutnya adil untuk semua golongan sama ada berada di tempat tinggi, mahupun tempat rendah yang ditenggelami air banjir.

Tindakan memindahkan calon SPM yang terkesan dalam bencana ini wajar dipuji sebagai tindakan yang paling cepat dan selamat untuk calon. Namun begitu, keselamatan nyawa sahaja bukanlah perkara utama dalam persediaan calon menghadapi peperiksaan ini. Mereka yang dipindahkan ini sepatutnya ada akses yang cukup kepada sumber-sumber rujukan bagi proses ulangkaji pelajaran, serta bebas dari tekanan mental yang tidak wajar akibat proses pemindahan ini.

Kelengkapan yang cukup perlu untuk memastikan mangsa-mangsa ini mampu menghadapi peperiksaan ini tanpa tekanan luar jangka yang menjadikan keputusan peperiksaan mereka tidak adil kelak.

Kami percaya berbaki 20 hari lagi untuk SPM bermula, KPM mampu siapkan persediaan yang sempurna untuk mangsa dan bakal mangsa yang mungkin dilanda musibah ini dengan beberapa gelombang banjir lagi mengikut jangkaan Jabatan Metereologi.

Apa yang menjadi keutamaan ialah keadilan dalam peperiksaan supaya tiada calon SPM yang dinilai secara tidak adil, semata-mata kerana bencana yang mereka hadapi. – UTUSAN

MOHD FAZREEN ISMANDI
Presiden GPMS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN