ANAK berkeperluan khas sering memerlukan pendidikan khusus yang disesuaikan dengan keperluan unik mereka. Keperluan ini mungkin melibatkan pendaftaran dalam program pendidikan khas, mengupah tutor, ahli terapi pertuturan dan cara kerja atau mempertimbangkan pilihan persekolahan swasta yang lebih lengkap untuk memenuhi keperluan mereka.
Justeru, demi memastikan anak berkeperluan khas mempunyai peluang untuk menjalani hidup secara mandiri, ibu bapa terpaksa berdepan dengan cabaran kewangan ketara yang boleh menyebabkan mereka terdedah kepada isu kerentanan kewangan.
Perbelanjaan ini boleh meningkat dari semasa ke semasa, terutamanya jika anak itu mempunyai keadaan perubatan yang kompleks atau kronik. Tambahan pula, perlindungan insurans atau takaful kesihatan mungkin tidak meliputi sepenuhnya semua rawatan yang diperlukan.
Sebagai contoh, anak autistik memerlukan sesi terapi pekerjaan, pertuturan dan campur tangan tingkah laku secara berkala yang mahal. Kos ini boleh terkumpul dengan cepat dan membebankan kewangan keluarga, terutamanya jika mereka tidak dilindungi secukupnya oleh insurans atau program bantuan kerajaan.
Menjaga kanak-kanak berkeperluan khas juga memerlukan masa dan perhatian yang khusus, menjadikannya mencabar bagi ibu bapa untuk mengekalkan pekerjaan sepenuh masa atau memajukan kerjaya mereka.
Selain itu, sesetengah majikan mungkin tidak bersedia memenuhi jadual fleksibel dan masa cuti yang diperlukan oleh ibu bapa anak berkeperluan khas, seterusnya mengehadkan pilihan pekerjaan mereka.
Sebagai langkah jangka masa pendek dan sederhana, insentif kewangan yang sama juga boleh dipanjangkan kepada ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Amerika Syarikat (AS) mengamalkan Pendapatan Keselamatan Tambahan (SSI) untuk menyalurkan bantuan pindahan tunai secara langsung kepada ibu bapa berpendapatan rendah dan mempunyai anak berkeperluan khas.
Manakala dalam jangka masa panjang, kerajaan perlu melancarkan tabung amanah bagi anak berkeperluan khas di negara ini seperti Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC) di Singapura sebagai teladan.
Melalui skim ini, ibu bapa boleh membuka akaun amanah atas nama anak as melalui sumbangan secara berkala atau sekali gus. Dana ini diuruskan secara profesional bagi memastikan pertumbuhan dan kestabilan kewangan dan hanya boleh digunakan untuk keperluan anak seperti penjagaan, pendidikan atau perubatan.
Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Ekonomi Madani yang menekankan keadilan sosial, kesejahteraan rakyat dan pembentukan masyarakat inklusif.-UTUSAN
DR. MOHD ZAIDI MD. ZABRI dan MOHAMMAD MAFRUKHIN MOKHTAR
Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Ekonomi Islam,
Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA,
The International Center for Education
in Islamic Finance (INCEIF) University & Ketua Jabatan
Pembangunan Penyelidikan, Agensi Kaunseling
Dan Pengurusan Kredit (AKPK)










