KETAGIHAN gajet dalam kalangan remaja dan kanak-kanak semakin hari semakin membimbangkan. Hal ini tidak mengejutkan kerana hasil tinjaun pendapat yang dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Lembah Klang mendapati 78.3 peratus ibu bapa membenarkan anak memiliki gajet.
Selain itu, laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017 oleh Institut Kajian Umum (IKU) Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 50.1 peratus pelajar sekolah menengah (13 hingga 17 tahun) menghabiskan masa lebih tiga jam untuk menonton televisyen dan bermain permainan di komputer. Tinjauan itu turut mendapati 85.6 peratus remaja adalah pengguna internet dan 29 peratus daripadanya mengalami ketagihan internet.
Dalam era digital ini, penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer menjadi sebahagian penting dalam kehidupan kanak-kanak. Ia sangat membantu dalam proses perkembangan minda dan pembelajaran.
Walaupun terdapat kebimbangan mengenai ketagihan dan kesan negatifnya, tidak dapat dinafikan gajet juga membawa pelbagai kebaikan yang signifikan dalam bidang pendidikan. Antaranya ialah meningkatkan imaginasi kanak kanak, meningkatkan kemahiran bahasa, perkataan baharu, sebutan yang tepat dan sebagainya.
Ketagihan gajet membawa pelbagai kesan negatif terhadap kesihatan mental, fizikal dan sosial. Dari segi mental, kanak-kanak yang terlalu banyak menggunakan gajet akan cenderung mengalami gangguan tidur, yang boleh menjejaskan tumpuan dan prestasi akademik.
Selain itu, pendedahan berterusan kepada kandungan digital yang tidak sesuai boleh mempengaruhi pemikiran dan emosi kanak-kanak. Ini boleh menyebabkan masalah seperti kegelisahan, kemurungan dan ketidakupayaan mengawal emosi.
Selain itu, kanak-kanak juga cenderung untuk menghadapi masalah kesihatan fizikal seperti penglihatan membabitkan keletihan mata dan rabun jauh akibat pendedahan berpanjangan kepada skrin.
Selain itu, kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa di depan skrin cenderung mengalami masalah interaksi sosial, obesiti serta masalah kesihatan seperti diabetes, penyakit jantung selain boleh menyebabkan masalah tulang belakang dan sakit belakang.
Dari segi sosial, ketagihan gajet boleh mengasingkan kanak-kanak daripada interaksi sosial yang sebenar. Kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa dengan gajet kurang berinteraksi dengan rakan sebaya dan ahli keluarga, yang penting untuk perkembangan kemahiran sosial mereka.
Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan gajet oleh anak-anak. Mereka perlu menetapkan had masa penggunaan gajet setiap hari dan memastikan anak-anak mematuhi had tersebut.
Ibu bapa juga perlu memilih kandungan yang sesuai dan memantau aktiviti dalam talian anak-anak. Selain itu, penting bagi ibu bapa untuk menjadi suri teladan dengan mengamalkan penggunaan gajet yang seimbang dan bertanggungjawab.
Selain itu, pendidikan dan kesedaran serta menggalakkan aktiviti alternatif seperti sukan, seni atau permainan luar boleh membantu mengurangkan masa yang dihabiskan dengan gajet.
Aktiviti-aktiviti ini tidak hanya membantu perkembangan fizikal tetapi juga sosial dan emosi kanak-kanak. Ibu bapa dan pendidik perlu memastikan kanak-kanak mempunyai akses kepada pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat.-UTUSAN
DR. MOHAMAD HALIM MOHAMAD SHARIFF
Pensyarah kanan, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bertam










