Bencana banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini meninggalkan kesan yang amat mendalam, bukan sahaja kepada infrastruktur tetapi juga kehidupan masyarakat setempat.
Ketika air surut, ia mendedahkan kemusnahan besar seperti kerosakan pada rumah, sekolah, surau dan tadika serta kehilangan harta benda yang tidak ternilai. Di tengah keperitan ini, universiti-universiti di Malaysia tampil menjadi sinar harapan, memanfaatkan kepakaran mereka untuk membantu masyarakat bangkit semula dengan lebih berdaya.
Universiti kini tidak lagi sekadar institusi pendidikan. Sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan penyelidikan, mereka memikul tanggungjawab sosial yang lebih besar untuk memberi manfaat terus kepada komuniti.
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), contohnya, memperlihatkan komitmen luar biasa dalam membantu komuniti yang terjejas banjir. Dengan staf akademik dan penyelidik yang berkemahiran tinggi dalam bidang seperti elektrik, elektronik, mekanikal dan kejuruteraan awam, mereka melaksanakan pembaikan kecil-kecilan seperti membaiki barangan elektronik, pendawaian rumah, dan perabot yang rosak akibat bencana ini.
Bagi UniMAP, usaha ini adalah sebahagian daripada visi ‘UniMAP untuk masyarakat yang menekankan peranan universiti sebagai jambatan antara ilmu dan keperluan masyarakat.
Kepakaran dan pengetahuan yang ada di universiti perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu masyarakat, terutama ketika mereka memerlukan sokongan pasca bencana.
Bagi staf akademik dan penyelidik yang terlibat, pengalaman ini menjadi peluang untuk mereka menyaksikan secara langsung bagaimana ilmu dan kepakaran memberi manfaat kepada masyarakat. Pakar kejuruteraan mekanikal, misalnya, membantu membaiki mesin yang rosak, manakala pakar kejuruteraan elektrik memastikan pendawaian rumah yang terjejas dapat berfungsi semula.
Mahasiswa yang turut serta dalam misi ini juga mendapat manfaat besar. Pengalaman di lapangan membuka mata mereka terhadap realiti kehidupan masyarakat yang terjejas, sekali gus membentuk nilai empati, tanggungjawab dan keprihatinan. Ini sejajar dengan objektif pendidikan tinggi negara untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi.
Langkah ini turut memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti melalui perkongsian ilmu, teknologi dan sumber manusia. Ia membuktikan bahawa universiti bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu tetapi juga institusi yang memahami dan prihatin terhadap keperluan setempat. – UTUSAN
ZALIMAN SAULI
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)










