RANG Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada Julai lalu mencetuskan perbahasan hangat dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan isu-isu akidah yang kompleks dan sensitif.
Menurut Himpunan Gerakan Islam Malaysia (Hikam), perdebatan mendalam mengenai perbezaan aliran akidah seharusnya tidak dilakukan di ruang awam kerana berpotensi menimbulkan kekeliruan dan ketegangan sosial.
Pandangan ini bertepatan dengan realiti semasa masyarakat. Perbincangan isu-isu teologi yang halus dan mendalam di hadapan orang awam boleh membawa kepada beberapa kesan negatif.
Antaranya ialah kemunculan sikap fanatik dalam kalangan pengikut suatu aliran, pembentukan pemikiran yang sempit serta taasub yang seterusnya membawa kepada pengabaian terhadap isu-isu pembangunan ummah yang lebih penting dan mendesak.
Hal ini secara tidak langsung akan menghambat produktiviti negara ekoran perpecahan yang berlaku dalam masyarakat.
Dalam menangani isu-isu sebegini, pendekatan yang lebih berhemah perlu diambil.
Perbincangan dan perdebatan mengenai isu-isu keagamaan yang asasi seharusnya dilakukan dalam forum-forum ilmiah yang dihadiri oleh para ulama, ahli teologi dan pakar bidang daripada pelbagai aliran.
Melalui muzakarah yang kondusif dan terkawal, penyelesaian yang lebih praktikal serta harmoni dapat dicapai untuk manfaat masyarakat secara keseluruhan.
Para ulama terkemuka seperti Imam an-Nawawi dan Imam al-Qurtubi menyatakan perbezaan dalam kalangan umat Islam adalah sesuatu yang boleh diterima selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip asas agama itu.
Konflik yang timbul sering kali didorong oleh pihak yang bersikap taasub dan ekstrem. Sikap kurang bertoleransi dan tidak memberi ruang untuk perbincangan yang rasional menyebabkan perpecahan dalam masyarakat Islam.
Oleh itu, amat penting untuk menegaskan kembali nilai kesatuan, keseimbangan dan keterbukaan dalam menghadapi perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam.
Dalam menghadapi perbezaan fahaman, amat penting untuk merujuk perbincangan kepada mereka yang pakar dan berkompeten. Ulama yang memiliki kelayakan dalam bidang akidah dan tafsiran agama perlu dijadikan rujukan utama dalam menyelesaikan perbezaan ini.
Mengembalikan perbincangan kepada mereka yang berautoriti dan berilmu adalah langkah penting bagi memastikan kesatuan serta keharmonian terus terpelihara.
Pendekatan ini bukan sahaja memastikan perbincangan berasaskan ilmu, tetapi juga dapat mengelakkan penyebaran pandangan yang tidak berasas yang boleh mencetuskan kekeliruan atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Dalam masa yang sama, ia juga adalah untuk memastikan perbincangan dan penyelesaian terhadap isu akidah dan fiqah berlandaskan ilmu yang sahih serta bebas daripada pengaruh kepentingan politik atau ideologi peribadi.
Umat Islam kini menghadapi pelbagai cabaran yang menuntut perhatian segera. Isu-isu seperti masalah sosial, rasuah selain kemiskinan seharusnya menjadi fokus utama perbincangan dan usaha penyelesaian.
Dalam menangani cabaran-cabaran ini, keterbukaan dalam menerima perbezaan pendapat, selagi ia tidak bertentangan dengan asas ajaran Islam, adalah kunci kepada kekuatan dan kemajuan ummah.
Tenaga dan pemikiran umat Islam perlu digembleng ke arah mencari penyelesaian kepada masalah-masalah ini yang secara langsung memberi kesan kepada kesejahteraan bersama.
Justeru, menumpukan usaha pada isu-isu utama dengan semangat perpaduan adalah penting demi kebaikan ummah.-UTUSAN
BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia










