Generasi Z bukan golongan ‘hati tisu’

Generasi Z bukan golongan ‘hati tisu’

BELIA generasi Z bukanlah ‘hati tisu’ tetapi wira yang sedang belajar menguatkan diri dalam dunia yang semakin mencabar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETAHANAN emosi adalah keupayaan untuk bangkit semula setelah menghadapi cabaran kehidupan. Dalam konteks belia, ia menjadi lebih penting berikutan tekanan sosial, cabaran digital dan peralihan norma yang pantas di dunia hari ini.

Istilah seperti ‘hati tisu’ dan ‘mudah koyak’ sering digunakan untuk menggambarkan generasi muda, tetapi adakah itu adil? Sebaliknya, kita harus memahami generasi ini berhadapan cabaran yang memerlukan daya tahan emosi lebih kukuh.

Ketahanan emosi bukan sahaja berkisar kepada kemampuan untuk mengharungi tekanan, tetapi mencegah isu sosial yang lebih serius seperti buli, kemurungan dan krisis identiti.

Statistik Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan satu dalam lima belia Malaysia mengalami tekanan emosi akibat buli siber.

Namun, generasi Z mempunyai kelebihan unik. Golongan ini lebih celik teknologi dan mudah untuk mencari maklumat, yang membolehkan mereka memahami isu kesihatan mental dengan lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Tetapi, ini memerlukan bimbingan supaya mereka boleh menggunakan kekuatan ini secara positif untuk membina daya tahan emosi.

Ketahanan emosi mampu mengurangkan risiko ini dengan:
– Membantu mangsa: Mereka yang berdaya tahan tinggi mampu menangani buli tanpa trauma berpanjangan. Contohnya, mangsa boleh belajar untuk menetapkan sempadan tegas dan mendapatkan bantuan dari pihak berautoriti.
– Mengubah pelaku: Pelaku yang mempunyai ketahanan emosi lebih cenderung mengenal pasti dan menguruskan emosi mereka sebelum bertindak negatif.
-Mewujudkan komuniti positif: Belia berdaya tahan cenderung membantu rakan sebaya yang menjadi mangsa buli, sekali gus memupuk persekitaran menyokong.

Ketahanan emosi membolehkan individu bukan sahaja bertindak balas terhadap cabaran, tetapi juga bertindak proaktif dalam mengubah suasana sosial mereka.

Pada peringkat individu, belia boleh mengamalkan latihan kesedaran dengan meluangkan masa untuk memahami dan menguruskan emosi tanpa bertindak balas secara impulsif. Aktiviti seperti berjalan perlahan di kawasan yang tenang sambil memberi perhatian kepada persekitaran boleh membantu menenangkan fikiran apabila berasa tertekan.

Selain itu, menulis jurnal harian juga berkesan dalam membantu seseorang memproses emosi dan merenung pengalaman, manakala usaha untuk menguasai kemahiran baharu seperti seni, muzik atau sukan boleh meningkatkan keyakinan diri mahupun memberi rasa pencapaian.

Dalam konteks rakan sebaya, hubungan sosial yang positif memainkan peranan besar dalam membina ketahanan emosi. Membentuk komuniti sokongan, membolehkan cabaran emosi dibuka secara terbuka, mencipta ruang untuk mendengar dan memberi sokongan tanpa menghakimi.

Media sosial, yang sering dikaitkan dengan tekanan emosi, juga boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan mesej positif. Kempen seperti ItsOkayToNotBeOkay menunjukkan bagaimana belia saling memberi galakan dan mendidik mengenai pentingnya kesihatan mental. Dengan sokongan rakan sebaya yang memahami, belia lebih mudah menangani cabaran hidup dan membina daya tahan emosi lebih kukuh.

Walaupun media sosial sering dikaitkan dengan tekanan emosi, ia juga boleh menjadi alat untuk membina daya tahan. Dengan mengikuti akaun yang mempromosikan motivasi dan pandangan positif, belia boleh memanfaatkan media sosial sebagai ruang selamat untuk sokongan emosi.

Sebagai kaunselor pelatih, saya percaya kita perlu terus mendidik, menyokong, dan memberikan ruang kepada belia untuk berkembang. Belia generasi Z bukanlah ‘hati tisu’ tetapi wira yang sedang belajar menguatkan diri mereka dalam dunia yang semakin mencabar.-UTUSAN

NURUL AFREEN NAQUIAH HAMINUDIN
Kaunselor Pelatih, Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×