ALUMNI Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengecam sekeras-kerasnya insiden buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang melibatkan seorang penuntut tahun satu mengalami kecederaan serius pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang penuntut senior.
Insiden ini jelas bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan prinsip keamanan yang seharusnya diterapkan dalam institusi pendidikan.
Kejadian ini amat membimbangkan dan mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi sebagai tempat yang bertujuan membentuk generasi muda yang berilmu, berintegriti, dan mempunyai jati diri yang tinggi. Budaya buli dalam kalangan mahasiswa tidak boleh diterima sama sekali, kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan fizikal pelajar, tetapi juga memberikan kesan buruk terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan komuniti kampus secara keseluruhan.
Sehubungan itu, Alumni MPPK menyeru kepada semua mahasiswa di seluruh Malaysia agar menolak sepenuhnya budaya buli dan keganasan dalam apa jua bentuk. Mahasiswa adalah pemimpin masa depan, dan sikap bertanggungjawab serta hormat-menghormati harus menjadi asas perhubungan sesama pelajar.
Kami juga menggesa pihak universiti untuk mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dan memastikan perlindungan yang menyeluruh terhadap keselamatan semua mahasiswa. Pihak berkuasa diharapkan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbukti terlibat dalam insiden ini, bagi memberi mesej jelas bahawa buli dan keganasan tidak akan dibiarkan tanpa tindakan.
Alumni MPPK berharap masyarakat umum tidak membuat spekulasi berhubung insiden ini dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan dengan telus. Marilah kita bersama-sama menolak budaya buli dan membina institusi pendidikan yang aman dan harmoni. – UTUSAN
MUHAMMAD AMIR ASYRAF MOHD SABRI
Presiden Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)










